SBS Nexus rancang pindah ibu pejabat baharu - Utusan Malaysia

SBS Nexus rancang pindah ibu pejabat baharu

SBS Nexus sasar raih RM30.63 juta menerusi IPO Pasaran ACE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SBS Nexus Berhad (SBS Nexus) merancang berpindah ke ibu pejabat baharu yang lebih besar bagi menyokong pengembangan perniagaan, daripada pejabat sedia ada seluas 10,210 kaki persegi di Bandar Sri Damansara ke ruang binaan khas kira-kira 20,000 kaki persegi.

Perancangan itu selaras dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham, dengan sasaran meraih RM30.63 juta daripada terbitan awam 122.5 juta saham baharu dan tawaran jualan 49 juta saham.

TA Securities berkata, ibu pejabat baharu itu akan dilengkapi dengan kawasan acara dan rangkaian, bilik persidangan dan bilik lembaga, kemudahan latihan serta studio pengeluaran lengkap untuk media dan video.

“Ia turut merangkumi ruang pejabat yang diperluas bagi menampung pertumbuhan tenaga kerja.

“Kumpulan kini sedang mengenal pasti bangunan separa berkembar yang sesuai di Lembah Klang dengan sasaran pemindahan dalam tempoh 12 bulan selepas perjanjian sewaan dimeterai, kelulusan pengubahsuaian diperoleh dan kerja pengubahsuaian disiapkan.

“Pejabat sedia ada akan disewakan selepas pemindahan selesai,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurut firma itu, seiring pemindahan ke ibu pejabat baharu, SBS Nexus turut merancang membeli peralatan baharu untuk menyokong operasi, pengeluaran dan pertumbuhan tenaga kerja.

“Pelaburan termasuk peningkatan infrastruktur IT dan rangkaian, pelayan, sistem keselamatan serta perisian pemulihan untuk operasi digital.

“Selain itu, studio pengeluaran akan dinaik taraf melalui pembelian kamera berspesifikasi tinggi, lensa, peralatan pencahayaan, dron serta lesen perisian terkini bagi menambah baik keupayaan penciptaan kandungan.

“Pelaburan lanjut akan dibuat dalam komputer riba, komputer, storan awan, pelayan pengehosan dan langganan perisian untuk menyokong operasi harian dan tenaga kerja yang semakin berkembang,” ujarnya.

Sementara itu, TA Securities berkata, SBS Nexus juga merancang mengembangkan pangkalan pelanggannya dengan menyasarkan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbahasa Melayu, selaras usaha mempelbagaikan pasaran selain pasaran sedia ada berbahasa Mandarin.

“Ini akan dicapai melalui penubuhan bahagian khusus dengan pengambilan kakitangan baharu dalam bidang jualan, penciptaan kandungan, reka bentuk grafik dan pengeluaran video, serta inisiatif pemasaran bersasar di bawah jenama baharu, MyUsahawan Media.

“Berdasarkan pengalaman dan penglibatan sedia ada dengan usahawan Melayu melalui anugerah perniagaan dan acara rangkaian, SBS menyasarkan pengukuhan kesedaran jenama serta sokongan pertumbuhan berterusan,” katanya.

Jelasnya, daripada 2022 hingga 2024, perbelanjaan pengiklanan digital meningkat daripada RM3.5 bilion kepada RM4.4 bilion pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 11.9 peratus.

“Ini menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian pemasaran dalam talian, siaran digital, pengeluaran video dan penyelesaian media dalam talian,” katanya.

Pada harga IPO 25 sen sesaham, TA Securities menilai SBS Nexus pada nisbah Perolehan Harga terhadap Pendapatan (PER) terdahulu sebanyak 18.4 kali berdasarkan Pendapatan Sesaham (EPS) tahun kewangan 2024.

Firma itu membandingkan SBS Nexus dengan MEDIA dan CATCHA serta menetapkan sasaran PER sebanyak 15 kali kepada EPS tahun kewangan 2026 SBS Nexus, sekali gus menghasilkan nilai saksama 29 sen sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×