Saya penat dianggap kanak-kanak - Mia Sara Nasuha - Utusan Malaysia

Saya penat dianggap kanak-kanak – Mia Sara Nasuha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya bukan kanak-kanak.”

Demikian kenyataan pelakon, Mia Sara Nasuha, 21, yang meluahkan rasa kecewa terhadap persepsi orang yang masih menganggapnya pelakon cilik.

Pelakon yang dikenali menerusi filem Nur Kasih itu menegaskan yang dirinya sudah dewasa justeru enggan dianggap pelakon kanak-kanak.

“Usia saya sudah 21 tahun, bukan lagi seorang budak. Saya mahu buang imej kanak-kanak itu, ubah perspektif orang yang masih menganggap saya ini pelakon cilik.

“Sebenarnya saya penat apabila asyik dianggap sebagai kanak-kanak. Walhal saya sudah dewasa. Sampai bila orang mahu menganggap saya ini budak kecil? Saya letih kerana diri saya ini tidak dipandang serius.

“Jangan salah faham. Saya seronok berlakon dan gembira menerima watak budak sekolah. Tetapi keadaan sudah berubah. Tiba masanya untuk saya menukar haluan. Saya tak boleh selamanya menjadi kanak-kanak.

“Tapi amat mengecewakan apabila saya masih terperangkap dalam persepsi orang yang masih memandang saya ini sebagai kanak-kanak sedangkan saya sudah dewasa. Sampai bila?” luahnya selepas majlis apresiasi drama TikTok FYP Macam VIP semalam.

Pemilik nama sebenar Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan itu juga memaklumkan persepsi berkenaan telah memberi kesan terhadap kesihatan mental dan emosinya.

“Orang tak pandang serius bila kita ini dianggap budak. Pandangan kita tidak didengar, tak ada siapa yang kisah tentang perasaan kita.

“Orang tidak pandang potensi sebenar saya, mereka tak kisah pun pasal kemampuan saya. Disebabkan itu, saya tak diberikan peluang.

“Terus terang saya katakan, keadaan ini membuatkan mental saya terganggu. Saya berperang dengan masalah ini sejak usia saya 15 tahun.

“Saya harap penerbit dapat melihat yang saya ini mampu membawa watak lain, watak dewasa. Saya tidak mahu asyik ditawarkan watak budak sekolah,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN