Menelusuri dunia kanak-kanak dalam drama Puasa Aiskrim

Menelusuri dunia kanak-kanak dalam drama Puasa Aiskrim

BUKU yang menghimpunkan tiga drama yang padat dengan pengajaran dan nilai moraliti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buku Kumpulan Drama Kanak-kanak Puasa Aiskrim tulisan Ladin Nuawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2018 ini merupakan sebuah naskhah yang sarat makna.

Dengan harga hanya semurah RM6 sahaja, buku ini membuktikan bahawa karya bermutu tidak semestinya mahal. Kumpulan drama ini memuatkan tiga drama pendek yang segar dan dekat dengan dunia kanak-kanak.

Nama sebenar Ladin Nuawi ialah Othman Aladin bin Nuawi. Kini berusia 70 tahun yang berasal dari Selising, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau merupakan karyawan sepenuh masa serta penggiat teater yang cukup dikenali. Pengalaman panjangnya dalam dunia pementasan jelas terpancar melalui karya-karya beliau selain lontaran atau gaya dialog yang hidup dan mudah difahami.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia teater, banyak skrip beliau telah dipentaskan antaranya adalah Durian Gergasi, Di Mana Singa, Rebung Puisi dan Sungai Bonda.

Karya-karya ini memperlihatkan kecenderungan beliau terhadap dunia kanak-kanak dan pendidikan nilai secara holistic sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai dramatis yang konsisten dalam genre tersebut.

Buku ini menghimpunkan tiga drama iaitu Puasa Aiskrim yang bertemakan ibadah puasa, Nyet dengan Ciku yang mengangkat nilai amanah, dan Ibu, Jangan Menangis

Lagi yang menyentuh soal berbakti kepada ibu. Ketiga-tiganya berdiri sebagai teks yang ringkas namun padat dengan pengajaran dan nilai moraliti.

Drama pertama yakni Puasa Aiskrim dilihat menelusuri pengalaman kanak-kanak yang sedang belajar berpuasa. Kisah ini memfokuskan Aiqal, Ammal dan Abang Long yang berdepan cabaran menahan lapar dan dahaga. Latar yang sederhana iaitu hanya pangkin di bawah pokok di tepi padang sudah cukup untuk menghidupkan suasana desa yang harmoni dan akrab.

Konflik timbul apabila kenakalan mereka menyebabkan puasa terbatal. Air aiskrim yang dititiskan ke dalam mulut ketika sedang tidur menjadi simbol kenakalan kanak-kanak.

Namun di situlah letaknya keindahan realiti bahawa proses belajar berpuasa bukan sekadar menahan lapar tetapi juga mengawal diri dan emosi.

Watak Abang Long pula berfungsi sebagai suara rasional yang membimbing. Hubungan antara watak-watak ini terasa jujur dan tidak dibuat-buat. Dialognya bersahaja seolah-olah percakapan harian yang biasa didengar di kampung atau di halaman rumah.

Drama kedua, Nyet dengan Ciku tampil lebih alegoris. Kehadiran watak monyet memberi dimensi simbolik terhadap persoalan amanah. Melalui interaksi antara manusia dan haiwan, mesej tentang tanggungjawab dan kejujuran disampaikan dengan ringan tetapi berkesan.

Nilai amanah dalam drama ini tidak digarap secara khutbah atau ceramah. Sebaliknya diselitkan melalui peristiwa dan tindakan watak. Kanak-kanak yang menonton atau membaca akan memahami bahawa amanah bukan sekadar kata-kata tetapi suatu tanggungjawab yang perlu dipikul.

Drama ketiga, Ibu, Jangan Menangis Lagi pula menyentuh emosi dengan lebih mendalam. Tema berbakti kepada ibu digarap secara lembut dan menyentuh hati. Watak ibu digambarkan sebagai sosok penyayang yang menjadi tiang seri keluarga.

Konflik dalam drama ini mengingatkan pembaca tentang pengorbanan seorang ibu. Kanak-kanak dididik untuk menghargai kasih sayang yang sering dianggap biasa.

Pesan moralnya jelas namun tidaklah memaksa.

Dari sudut bahasa, Ladin Nuawi memilih gaya yang mudah dan komunikatif. Struktur dialognya ringkas serta sesuai untuk pentas sekolah. Hal ini menjadikan drama-drama ini amat praktikal untuk dipentaskan dalam program pendidikan atau aktiviti kokurikulum malah peringkat kebangsaan sekali pun.

Kekuatan utama buku ini terletak pada kerelevanan wataknya. Watak kanak-kanak, abang long, ibu, malah monyet dalam Nyet dengan Ciku, semuanya dekat dengan imaginasi dan pengalaman sebenar pembaca muda. Unsur humor dan kenakalan menambah daya tarikan tanpa menjejaskan mesej.

Selain sebagai bahan bacaan, kumpulan drama ini berpotensi besar membantu pembentukan sahsiah dan karektor kanak-kanak. Nilai sabar, amanah, kasih sayang dan tanggungjawab disemai secara halus. Apabila dipentaskan, impaknya pasti lebih mendalam kerana kanak-kanak dapat menghayati watak secara langsung.

Secara keseluruhannya, Puasa Aiskrim merupakan naskhah yang kecil daripada segi saiz tetapi besar maknanya. Hal ini membuktikan bahawa drama kanak-kanak bukan sekadar hiburan tetapi wahana pendidikan nilai yang berkesan. Ladin Nuawi sekali lagi memperlihatkan kepekaannya terhadap dunia kanak-kanak dan keupayaannya mengolah cerita yang sederhana menjadi penuh signifikan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN