KOTA BHARU: Seorang daripada dua suspek yang meragut seutas rantai leher dan gelang milik seorang wanita warga emas berpura-pura bertanya lokasi kampung lain sebelum merentap barang kemas itu dalam kejadian di Kampung Paloh Rambai, Ketereh di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Kamariah Zakaria, 72, ketika itu sedang membakar sampah cedera pada bahagian leher, dagu, mata dan belakang bahu akibat dipukul sebelum diseret sejauh 10 meter dengan motosikal dinaiki suspek.
Bekas guru agama itu berkata, dia sempat menjerit meminta pertolongan ketika bergelut dengan salah seorang suspek manakala rakannya berada di atas motosikal jenis Yamaha Y15.
“Sebelum kejadian, saya nampak sebuah motosikal dinaiki dua lelaki membuat pusingan U. Motosikal itu kemudian menghampiri saya dan salah seorang daripada mereka bertanya lokasi Kampung But.
“Tiba-tiba seorang suspek memegang tangan saya dan merentap gelang emas sebelum saya sempat menggigit tangannya. Dia kemudian menepis saya menggunakan siku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kamariah memberitahu, salah seorang lelaki terbabit turut menarik tudungnya sebelum meragut rantai emas pada leher.
Katanya, dia ketika itu menjerit meminta pertolongan sebelum melihat kereta Proton Persona warna hitam melalui kawasan tersebut dengan dipandu secara perlahan.
“Saya syak pemandu kereta terbabit mengenali suspek. Selepas berjaya meragut gelang dan rantai emas, mereka berdua terus meloloskan diri.
“Saya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang semalam,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diseret sejauh kira-kira 10 meter selepas menjadi mangsa samun ragut sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit dalam kejadian di Kampung Paloh Rambai, Ketereh. – UTUSAN










