PETALING JAYA: Kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata sebaliknya perlu diperkukuh melalui amalan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam menghadapi cabaran semasa termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang pelanggaran amanah.
“Kerajaan Madani akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu Anwar menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman hari ini.
Perdana Menteri memaklumkan, dalam pertemuan itu mereka membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat. – UTUSAN










