KUALA LUMPUR: Tempoh perkhidmatan panjang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak boleh dijadikan alasan untuk mengecualikan seseorang daripada berdepan tindakan undang-undang.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan perlu melalui proses perundangan seperti individu lain, meskipun telah berkhidmat selama 40 tahun.
“Memang benar beliau telah berkhidmat selama 40 tahun dalam pertahanan negara dan kami menghargainya. Namun, pada ketika ini, beliau merupakan seorang tertuduh dan perlu menghadapi proses perundangan,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Wan Shahruddin berkata, pihak pendakwaan akan berusaha sedaya upaya membuktikan pertuduhan kes penerimaan wang hasil aktiviti haram hampir RM2.2 juta yang dihadapi oleh Muhammad Hafizuddeain.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik walaupun mengakui kes tersebut rumit dan mencabar.
“Ini merupakan satu perjuangan yang mencabar. Setiap kes mempunyai risiko dan halangan tersendiri. Saya tidak boleh menjamin akan berlaku sabitan, namun kami akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.1 juta antara Februari 2024 dan November tahun lalu manakala isterinya, Salwani Anuar@Kamaruddin berdepan empat pertuduhan serupa membabitkan jumlah RM77,000.
Tertuduh juga akan berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan perbuatan sama di Mahkamah Sesyen, Shah Alam esok dan isterinya dengan pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen, Jertih, Terengganu Isnin ini. – UTUSAN










