KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mencadangkan penubuhan Konsensus Nasional Baharu yang berpaksikan kepentingan negara serta merentasi parti politik, kaum, agama dan wilayah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gagasan berkenaan merupakan satu proses pembaharuan kepimpinan yang realistik dan boleh dilaksanakan, berasaskan pengalaman sejarah negara serta mengambil kira cabaran masa depan khususnya selepas Malaysia melalui pelbagai rintangan.
Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pernah melaksanakan pendekatan serupa melangkaui kepentingan kelangsungan politik.
Katanya, ia menerusi usaha pembinaan bangsa melalui kemajuan pendidikan dan pembangunan luar bandar sehingga membawa kepada pengenalan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) serta penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
“Konsensus Nasional Baharu yang dibawa PN ini turut mempunyai matlamat yang sama. Ia tidak terbatas kepada satu kaum, agama atau wilayah, sebaliknya bertujuan menyatukan semua pihak.
“Kita menetapkan semula hala tuju negara dan saya mengajak seluruh rakyat untuk berganding bahu memajukan negara tercinta ini.
“Saya percaya melalui gagasan ini, negara boleh dipulihkan, ekonomi dapat dirancakkan semula, politik dapat dimatangkan dan rakyat dapat disatukan kembali berteraskan keadilan serta harapan baharu,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, dalam usaha menyatukan semua pihak sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, soal penamaan bukanlah perkara utama, sebaliknya kesatuan hati untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu menjadi keutamaan.
“Ia boleh dinamakan apa sahaja sama ada Rumah Bangsa, Kolaborasi Agung, Payung Besar atau Muafakat Nasional (MN), namun lebih penting adalah intipati kesepakatan itu, bukan sekadar retorik atau manis di bibir.
“Jadikan ia sebagai wadah perjuangan demi masa depan generasi yang lebih unggul, bangsa yang lebih harmoni dan negara yang gemilang,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, PN tidak menolak untuk menyokong cadangan had dua penggal jawatan Perdana Menteri seperti yang dicadangkan kerajaan, namun tertakluk kepada beberapa syarat antaranya Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan.
“Cadangan memisahkan tanggungjawab Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah jauh lebih penting berbanding tempoh perkhidmatan seorang Perdana Menteri.
“Perdana Menteri tidak wajar memegang jawatan Menteri Kewangan secara serentak kerana bidang kuasa Menteri Kewangan amat besar, lebih-lebih lagi jika individu yang sama juga merupakan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN










