PETALING JAYA: Kerajaan menawarkan pembayaran pendahuluan sebanyak RM2,000 untuk setiap pelatih menerusi Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin mengambil pelatih.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, wang pendahuluan tersebut akan disalurkan kepada syarikat dengan proses kelulusan mengambil masa hanya 14 hari.
Katanya, ia sebagai inisiatif meningkatkan kebolehpasaran belia sekali gus memenuhi keperluan tenaga mahir industri dengan pelaksanaan bermula 1 Mac ini.
“Program ini melibatkan dana sebanyak RM30 juta untuk tiga tahun dan akan memberi manfaat kepada 25,000 pelatih tempatan.
“Proses dia cepat, hanya mengambil tempoh 14 hari bekerja sahaja berbanding sebelum ini, 90 hari bekerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Taklimat Korporat sempena lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), di sini.
Pada mulanya, inisiatif LiKES yang dilancarkan pada 2024 itu menggunakan konsep bayar dan tuntut semula (pay and claim).
Syarikat boleh memanfaatkan kemudahan itu bagi menuntut bayaran balik elaun minimum bulanan untuk program latihan industri dengan tempoh minimum selama 10 minggu.
Tambah Ramanan, jaminan pekerjaan kepada pelatih turut diperkenalkan menerusi MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) yang diiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Katanya, pendekatan berteraskan industri itu memastikan keperluan kemahiran ditentukan oleh industri, sekali gus mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan meningkatkan gaji permulaan.
“Keseluruhannya, ini merupakan satu ekosistem bakat bersepadu yang menyokong rakyat Malaysia daripada memasuki alam pekerjaan, membina kemahiran, hinggalah kekal bekerja,” katanya. – UTUSAN







