GEORGE TOWN: Seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dalam talian yang ditawarkan melalui aplikasi dikenali sebagai DAC Pro.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, semalam.
Menurut beliau, mangsa yang berusia 67 tahun itu dipercayai diperdaya sejak penghujung Ogos tahun lalu selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Facebook sebelum ditawarkan menyertai satu skim pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh singkat.
“Dari tempoh 8 Oktober hingga 10 Disember lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 22 transaksi pembayaran berjumlah RM760,200 ke dalam enam akaun bank berbeza dengan dijanjikan pulangan keuntungan keseluruhan sebanyak RM7.48 juta.
“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan tersebut, dia diminta untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran.
“Sehubungan itu, mangsa membuat enam lagi transaksi pembayaran berjumlah RM242,200 ke dalam satu akaun bank antara 18 hingga 24 Disember 2025,” katanya yang memberitahu, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu apabila dia masih gagal untuk mengeluarkan keuntungan, sebaliknya, perlu membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan cukai dan sebagainya.
Tambah Azizee, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-UTUSAN









