Perak tidak kompromi aktiviti perlombongan tak ikut SOP - Utusan Malaysia

Perak tidak kompromi aktiviti perlombongan tak ikut SOP

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) menyampaikan sijil perhargaan pada Konvensyen Integriti dan Antirasuah Perak Sejahtera Tahun 2026 dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak tidak akan berkompromi terhadap aktiviti perlombongan yang tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan yang menjejaskan kesihatan dan nyawa rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengulas mengenai syarikat perlombongan di daerah Hulu Perak yang dibenarkan kembali beroperasi selepas siasatan pencemaran Sungai Perak selesai berkata, kerajaan negeri meletakkan kesihatan dan nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keperluan untuk mendapat pendapatan berasaskan perlombongan.

“Mengenai lombong unsur nadir bumi (REE) (satu REE, dua bijih timah di Gerik) yang dihentikan sementara,  telah memulakan operasi setelah mendapat surat pelepasan pada 13 Januari lalu.

“Tujuan diberhentikan itu untuk membolehkan siasatan dibuat mencari punca air biru dan yang kedua, kerana memang terdapat pelanggaran SOP yang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkaitan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Konvensyen Integriti dan Antirasuah Perak Sejahtera Tahun 2026 dan Majlis Peluncuran Program Keep Malaysia Clean (KMC) Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Media melaporkan sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tiga aktiviti perlombongan dikesan berhampiran kawasan hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik, lokasi yang tular dengan kejadian air sungai bertukar kebiruan dan didakwa tercemar, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, satu daripada aktiviti tersebut melibatkan kilang unsur nadir bumi (REE) manakala dua lagi adalah lombong bijih timah.

Saarani berkata, memang terdapat pelanggaran SOP yang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkaitan barangkali menjadi punca . bertukar air warna dan sebagainya.

“Sebab itu, siasatan dibuat oleh jabatan-jabatan yang berkaitan dan setelah mereka berpuas hati, maka (syarikat) diberikan semula kebenaran untuk terus beroperasi.

“Nasihat saya kepada semua syarikat yang berkaitan termasuk syarikat lainlah. Apabila dah dapat SOP, ikut SOP itu jangan ada sedikit pun cubaan untuk mengelak,” katanya.

Ujarnya, pematuhan SOP yang memerlukan perbelanjaan dan kos menyebabkan ada syarikat bertindak melanggarnya.

“Saya ingatkan sekali lagi, bahawa kerajaan negeri kita very firm (tegas), jika mana-mana syarikat yang melibatkan aktiviti melombong terutama yang berkaitan REE yang ada kemungkinan berlakunya radioaktif yang lebih tinggi.

“Kerajaan negeri kita meletakkan kesihatan dan nyawa rakyat jauh lebih penting daripada keperluan untuk mendapatkan pendapatan berasalkan perlombongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN