Pengunjung zoo menangis ucap selamat tinggal kepada panda terakhir Jepun

Pengunjung zoo menangis ucap selamat tinggal kepada panda terakhir Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Beribu-ribu orang membanjiri sebuah zoo di Jepun untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dua ekor panda gergasi terakhir negara itu, yang dijadualkan dipulangkan ke China pada Selasa.

Suasana penuh emosi menyelubungi Zoo Ueno di Tokyo apabila orang ramai beratur, ada yang menunggu sehingga tiga setengah jam untuk melihat anak kembar panda, Xiao Xiao dan Lei Lei, buat kali terakhir.

Perpisahan ini berlaku pada saat yang sangat tegang dalam hubungan antara Tokyo dan Beijing. Hubungan kedua-dua negara merosot dengan ketara selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menyatakan Tokyo akan terlibat secara ketenteraan sekiranya China menyerang Taiwan.

Penghantaran pulang anak panda kembar itu akan menyebabkan Jepun tidak lagi memiliki sebarang panda buat kali pertama sejak 1972, tahun kedua-dua negara menormalkan hubungan diplomatik.

China menggunakan panda gergasi sebagai simbol niat baik terhadap sekutu dan pesaing antarabangsa sejak penubuhannya pada 1949.

Namun begitu, China mengekalkan hak pemilikan ke atas semua panda yang dipinjamkan kepada negara asing, termasuk anak panda yang dilahirkan di luar negara.

Sebagai balasan, negara tuan rumah perlu membayar yuran tahunan kira-kira AS$1 juta (RM3.96 juta) bagi setiap sepasang panda.

Menurut kerajaan metropolitan Tokyo, kira-kira 108,000 orang bersaing untuk mendapatkan salah satu daripada hanya 4,400 slot yang ditawarkan bagi peluang terakhir melihat panda kesayangan zoo itu.

“Saya membawa anak saya ke sini sejak dia masih bayi, jadi saya harap ini menjadi kenangan indah untuknya. Saya gembira kami dapat datang hari ini untuk mengingati mereka,” kata seorang wanita kepada BBC.

Seorang lagi wanita mengimbau kembali perjalanan tumbesaran panda tersebut.

“Menyaksikan perkembangan mereka, terutamanya sejak mereka masih kecil, merupakan satu kegembiraan yang besar,” katanya.

Beberapa pengunjung dilihat menangis teresak-esak ketika mengucapkan selamat tinggal kepada haiwan itu.

Xiao Xiao dan Lei Lei dilahirkan pada 2021 di Zoo Ueno hasil pembiakan ibu mereka, Shin Shin dan bapa mereka, Ri Ri yang kedua-duanya dipinjamkan ke Jepun bagi tujuan penyelidikan pembiakan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pinjaman panda oleh China sering berlaku seiring dengan perjanjian perdagangan utama.

Puluhan ekor panda dipulangkan ke China sejak beberapa tahun lalu dan perjanjian pinjaman biasanya berlangsung selama 10 tahun, walaupun lanjutan tempoh sering dilakukan.

Bagaimanapun, prospek pinjaman panda baharu kepada Jepun kekal tidak menentu berikutan pertikaian yang semakin memuncak. Awal bulan ini, China mengetatkan sekatan eksport produk berkaitan nadir bumi ke Jepun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×