KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual paket serbuk kopi mengandungi racun berjadual, Tadalafil, tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman memutuskan hukuman itu ke atas syarikat yang menjual minuman dan barangan runcit itu yang diwakili pengarahnya, Teh Yew Sim, 54, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.
Mahkamah akan mengeluarkan waran melevi sekiranya syarikat gagal membayar denda itu. Bagaimanapun Yew Sim membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa menjual 40 paket ‘Kopi Jantan Tradisional’ (Healthy Man Coffee) yang mengandungi Tadalafil sebanyak 1,310.61 milligram/kilogram (mg/kg) iaitu bahan tambahan yang tidak dibenarkan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 13B(1) Akta Makanan 1983 yang dibaca bersama 13B(2)(d) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13(B)(3) dan 13B(4) akta serupa.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.
Kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak, V.S Vivig Dinesh manakala syarikat terbabit tidak diwakili peguam.
Vivig semasa hujahan pemberatan mencadangkan hukuman denda yang setimpal kerana kes-kes penambahan racun dalam produk makanan semakin berleluasa demi mengaut keuntungan segera tanpa mempedulikan keselamatan pengguna dan orang awam.
Jelasnya, Tadalafil adalah ubat terkawal diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan B di bawah Akta Racun 1952 dan lebih bahaya dari Sildenafil yang membahayakan kesihatan dan keselamatan pengguna jika diminum setiap hari.
“Ia juga mendatangkan risiko kesihatan serius termasuk penurunan tekanan darah secara mendadak, gangguan sistem kardiovaskular, interaksi berbahaya dengan ubat lain terutama ubat sakit jantung yang mengandungi nitrat.
“Ia juga memberi kesan sampingan seperti serangan jantung, strok dan ereksi berpanjangan yang menyakitkan dan boleh merosakkan tisu,” katanya.
Yew Sim pula merayu hukuman ringan atas alasan dirinya adalah penanggung tunggal keluarga serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Menurut fakta kes, dua pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah ke premis syarikat berkenaan untuk pemeriksaan dan pensampelan makanan bagi tujuan analisis.
Hasil analisis mendapati sampel yang diambil mengandungi Tadalafil yang tidak sepatutnya ditambah dalam sebuk kopi berkenaan. – UTUSAN










