IPOH: Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak menyasarkan penganjuran lebih 1,000 siri Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, jualan berkenaan menawarkan potongan harga antara 20 hingga peratus bagi pelbagai spesies ikan.
Katanya, pelaksanaan jualan di kesemua 12 daerah di Perak itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan bagi membantu rakyat memperoleh bekalan ikan pada harga yang lebih berpatutan.
“Program ini akan dilaksanakan di lima lokasi tapak kekal di setiap daerah. Jualan juga akan dijalankan secara bergerak menggunakan motosikal roda tiga dan lori, dengan kekerapan tiga kali seminggu di lokasi terpilih.
“Pelbagai spesies ikan ditawarkan berdasarkan permintaan setempat dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
“Sebagai contoh, ikan kembung yang berharga RM17 sekilogram (kg) akan dijual dengan harga RM13.60, ikan merah RM45 (RM36), ikan siakap RM20.50 (RM16.40), ikan jenahak RM45 (RM36), udang RM35 (RM28), sotong RM35 (RM28) dan kerang RM18 (RM14.40),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah LKIM Perak, Ahmad Zulkifli Ismail.
Menurut beliau, pemilihan lokasi jualan dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) bagi mengenal pasti tapak yang sesuai termasuk cadangan melaksanakan jualan di kawasan masjid selepas solat Jumaat.
Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada kemudahan infrastruktur selain pelaksanaan jualan itu tidak mengganggu aliran lalu lintas dan pasar atau premis perniagaan sedia ada.
“Jualan ikan murah juga tidak akan dijalankan berdekatan pasar yang beroperasi, namun peniaga sedia ada dialu-alukan untuk turut serta menyertai program tersebut,” katanya.
Tambah beliau, jualan ikan murah itu telah bermula sejak Oktober lalu dan pelancaran rasmi program berkenaan dijadualkan pada Februari ini di Sungai Siput.
“Dari segi bekalan, InsyaAllah tidak jadi masalah. Stok mencukupi untuk dinikmati oleh rakyat dengan harga yang berpatutan, malah tiada had pembelian ditetapkan kepada pembeli,” katanya. – UTUSAN








