Penyusunan semula di tiga kerusi DUN kosong - Utusan Malaysia

Penyusunan semula di tiga kerusi DUN kosong

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri akan membantu penyusunan semula dengan membuka pusat khidmat dan melantik penyelaras di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), sekiranya kerusi itu disahkan kosong.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, beliau difahamkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Bintong dan Chuping akan membawa isu pengoso­ngan kerusi ke mahkamah.

Katanya, ia bagi mempertahankan fakta bahawa ketiga-tiga mereka masih kekal sebagai ADUN.

“Kami akan lihat kerana difahamkan bekas ADUN tersebut akan membawa ke mahkamah untuk dicabar bagi mempertahankan fakta bahawa mereka masih kekal sebagai ADUN.

“Pada masa sama, kerajaan negeri perlu membantu dalam penyusunan tiga kawasan ini dan sekiranya berlaku kekoso­ngan maka pentadbiran kawasan itu akan diurus tadbir oleh Pejabat Menteri Besar Perlis. Di mana, kami akan buka pusat khidmat dan lantik penyelaras kawasan.

“Kita juga akan rujuk dengan Pas memandangkan tiga kerusi berkenaan adalah kawasan mereka,” katanya.

Kelmarin, Yang Dipertua DUN Perlis, Rus’sele Eizan menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di tiga kerusi berkenaan.

Abu Bakar berkata, senarai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dikemukakan kepada Raja Perlis minggu depan.

Katanya, setiap Exco yang dilantik bakal berdepan tugasan mencabar terutama terpaksa menerajui antara empat atau lima portfolio setiap seorang.

“Jika dilihat, ia sememang­nya mencabar untuk mentadbir kerana terlalu banyak portfolio harus digalas. Lazimnya sekitar satu atau dua portfolio sahaja dipegang seseorang Exco sebelum ini, namun kali ini dengan barisan Exco yang terhad, kita jangka setiap seorang akan memegang sehingga lima portfolio,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN