KOTA BHARU: Seorang peniaga didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan penyambungan elektrik secara haram untuk melombong bitcoin di sebuah premis di Kampung Lundang di sini, Oktober tahun lalu.
Loo Siong Hong, 43, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.
Mengikut pertuduhan, OKS didakwa dengan curangnya menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan dengan sempurnanya penggunahabisan elektrik dengan cara membuat sambungan haram yang disambung pada bahagian terminal keluaran suis fius di panel meter dan dialirkan ke premis.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Lundang di sini kira-kira pukul 3 petang pada 15 Oktober tahun lalu. OKS didakwa di bawah perenggan 37(3)(e)Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan boleh dihukum di bawah subsubperenggan 37(3)(A)(ii) akta sama yang memperuntukan denda RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN










