ALOR SETAR: Seorang pengurus jualan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini terhadap tiga pertuduhan menghina agama, menunjukkan isyarat lucah dan meludah polis, akhir Disember lalu.
Teoh Siew Li, 35, yang masih bujang membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis, Lans Koperal Jelnazir Hilman dengan meludah terhadapnya dengan niat untuk menahan beliau daripada melakukan kewajipan sebagai penjawat awam.
Dalam pertuduhan kedua, Siew Li didakwa hendak mengaibkan kehormatan Jelnazir dengan menyebut perkataan yang tidak sopan dan menunjukkan isyarat lucah agar ia didengar dan dilihat anggota polis itu.
Manakala untuk pertuduhan ketiga, wanita itu didakwa dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut agama Islam iaitu Jelnazir dengan mengeluarkan perkataan yang menghina nabi.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis perniagaan Jalan Perusahaan 2, Taman Bandar Baru Mergong, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 31 Disember lalu.
Pendakwaan di bawah Seksyen 353, Seksyen 509 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan dikendalikan oleh Pengarah
Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Wanita itu berhadapan hukuman penjara sehingga tempoh maksimum lapan tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesemua perbuatan itu, jika sabit kesalahan
Majistret kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan 20 Januari ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam.
Pada Rabu lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai melakukan kekacauan serta bertindak agresif serta memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah terhadap anggota polis.
Suspek sebelum itu dikatakan menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat di kawasan kejadian sebelum anggota polis dikerah untuk mengawal keadaan.
Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun serta membuat isyarat lucah termasuk menunjukkan jari tengah ke arah salah seorang anggota polis. – UTUSAN










