KUALA LUMPUR: Pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali telah memfailkan saman fitnah terhadap Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard yang didakwa mengaitkannya dengan isu rasuah.
Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Syed Amir Naqib & Co (SANCO) di Mahkamah Tinggi di sini hari.
Peguam Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili Sabri selaku plaintif berkata saman itu difailkan hari ini selepas Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin tidak menjawab atau memberikan sebarang maklum balas terhadap surat tuntutan yang diberikan sebelum ini.
“Pernyataan-pernyataan itu adalah tidak benar, mengelirukan dan berbaur fitnah menyebabkan kerosakan reputasi serius terhadap plaintif yang tidak boleh dipulihkan melalui penjelasan awan semata-mata.
“Laksamana Madya Datuk Sabri tidak pernah didakwa, disabitkan atau didapati bersalah atas sebarang kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku seperti dinyatakan oleh defendan (Badrul Hisham) dalam kes ini di mana dakwaan tidak benar boleh memesongkan persepsi orang ramai terhadap sumbangan beliau sebagai pegawai kanan tentera,” katanya pada sidang media selepas memfailkan saman itu.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Sabri yang juga Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) selaku plaintif mendakwa Chegubard telah berulang kali menerbitkan pelbagai kenyataan bertulis, visual dan rakaman video di media sosial di antara Julai 2024 hingga Disember 2025.
Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat aktivis itu antara lain menggambarkan Sabri sebagai seorang pegawai kanan tentera yang kononnya terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa, tidak berintegriti serta tidak layak memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam ATM.
Sabri turut mendakwa defendan secara terbuka mengakui niatnya untuk menggagalkan pelantikan plaintif sebagai Panglima Tentera Laut sekaligus membuktikan bahawa penerbitan tersebut dibuat dengan niat jahat dan bukan demi
kepentingan awam.
Chegubard juga didakwa mengakui sendiri bahawa kenyataan yang dibuatnya adalah bersumberkan dokumen yang diperoleh daripada pihak yang tidak dikenali, tanpa sebarang proses pengesahan atau verifikasi yang sah.
Plaintif menegaskan sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau tidak pernah didakwa, dibicarakan atau disabitkan oleh mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa berhubung sebarang kesalahan rasuah, jenayah, salah guna kuasa atau salah laku moral.
Sabri turut menafikan semua tuduhan yang bersifat fitnah dan tidak berasas serta dibuat tanpa sebarang keputusan mahkamah, pendakwaan atau pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mana-mana pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Sabri antara lain memohon perintah deklarasi bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah fitnah, kenyataan fitnah itu dihentikan, serta ganti rugi yang wajar atas kerosakan reputasi dan penderitaan yang dialami plaintif. – UTUSAN









