PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendakwa pemecatannya dibuat tanpa melalui proses yang adil.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan selepas mengemukakan tiga tuntutan kepada Lembaga Disiplin ketika hadir dipanggil pada 6 November lalu.
Saifuddin berkata, tuntutan pertama ialah supaya dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin menarik diri daripada mengendalikan kesnya kerana wujud konflik kepentingan yang nyata.
“Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohammed Radzi Manan, mempunyai hubungan kekeluargaan rapat dengan pimpinan tertinggi Bersatu, manakala seorang lagi AJK Lembaga Disiplin didakwa mempunyai hubungan kerja langsung dengan tokoh yang terlibat dalam isu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mempersoalkan kegagalan Lembaga Disiplin memisahkan peranan sebagai penyiasat, pendakwa dan pembuat keputusan kerana ia bercanggah dengan prinsip keadilan asasi dan hak mendapatkan perbicaraan yang saksama.
“Saya telah meminta Lembaga Disiplin menjelaskan nama penyiasat kes saya dan nama pihak yang membuat Pendakwaan ke atas saya.
“Adalah amat penting untuk saya mendapatkan kepastian bahawa penyiasat kes saya, pihak yang membuat pendakwaan ke atas saya dan AJK Lembaga Disiplin yang akan memutuskan nasib saya adalah tiga pihak yang berbeza. Ini bagi memastikan saya mendapat keadilan yang sewajarnya,” jelasnya.
Saifuddin memohon agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil memberi keterangan dalam sesi perjumpaan tersebut memandangkan pertuduhan terhadapnya melibatkan kenyataan berkaitan kepimpinan tertinggi parti, namun permintaan itu tidak diberi sebarang maklum balas.
“Oleh kerana pendakwaan terhadap saya melibatkan pertuduhan bahawa saya, antara lain, ‘mencadangkan Tan Sri Presiden meletakkan jawatan, maka, terdapat beberapa persoalan yang akan saya bangkitkan di hadapan Lembaga Disiplin.
“Persoalan-persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan bukannya oleh pengadu, penyiasat, pendakwa raya ataupun Lembaga Disiplin.
“Maka adalah amat sesuai dan menjadi suatu keperluan yang mustahak untuk memanggil Tan Sri Muhyiddin memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin bagi menjawab beberapa isu yang akan saya bangkitkan di hadapan Lembaga Disiplin,” katanya.
Menurut Saifuddin, Lembaga Disiplin hanya boleh membuat keputusan terhadap pertuduhan ke atasnya selepas memanggil dan meneliti keterangan Muhyiddin berkaitan persoalan dan isu-isu tertentu yang akan beliau timbulkan dalam sesi perjumpaan.
“Sekiranya jawapan-jawapan yang diberikan oleh Muhyiddin terhadap persoalan dan isu tersebut adalah afirmatif, maka tindakan saya mencadangkan beliau untuk melepaskan jawatan Presiden Bersatu bukanlah menjadi sesuatu perkara yang boleh dianggap menyerang Presiden ataupun menjejaskan imej parti,” jelasnya.
Bagaimanapun kata Saifuddin, Lembaga Disiplin tidak memberikan apa-apa jawapan dan memohon agar diadakan sesi perjumpaan baharu, iaitu yang memenuhi ketiga-tiga tuntutannya.
“Sekiranya ketiga-tiga tuntutan tersebut dipenuhi, maka saya bersedia menghadiri sesi perjumpaan seterusnya dan memberi kerjasama penuh kepada Lembaga Disiplin.
“Ini kerana saya percaya bahawa menurut prinsip natural justice, saya berhak mendapatkan perbicaraan atau prosiding yang adil (fair trial),” katanya.
Katanya beliau menerima Notis Pemecatan Keahlian Bersatu daripada Lembaga Disiplin semalam atas alasan yang ditulis dengan ringkas iaitu: kerana tindakan Datuk Seri melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu. – UTUSAN










