Pemecatan Saifuddin bertentangan semangat parti

Pemecatan Saifuddin bertentangan semangat parti

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa dibuat tanpa persidangan rasmi Lembaga Disiplin bertentangan dengan semangat dan prinsip perlembagaan parti.

Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq berkata, pelanggaran proses yang sah bukanlah isu teknikal kecil, sebaliknya berkait keabsahan keputusan.

“Setelah meneliti fakta yang ada adalah jelas bahawa keputusan pemecatan tersebut dibuat tanpa suatu persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD).

“Hakikat ini tidak boleh di selindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota sebelum ini mendakwa beliau tidak melalui proses yang adil di sebalik dakwaan melanggar disiplin parti sehingga menyebabkan beliau dipecat keahlian semalam.

Saifuddin berkata beliau mengemukakan tiga tuntutan kepada Lembaga Disiplin ketika hadir dipanggil pada 6 November lalu sebelum di pecat pada 6 Januari lalu.

Dalam pada itu, Khaliq berkata, beliau membangkitkan isu ini bukan untuk mempertahankan mana-mana individu, sebaliknya ‘mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti’.

“Lebih mendukacitakan … kecacatan proses ini cuba ditutup dengan naratif ‘disiplin’, ‘tanggungjawab kolektif’ dan ‘ketegasan parti’, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara.

“Ini bukan budaya parti yang berperlembagaan, ini budaya arahan tanpa semak imbang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN