Pelan insurans kesihatan, kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini - Utusan Malaysia

Pelan insurans kesihatan, kos sara hidup antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT) berpremium serendah RM80 sebulan antara perkara yang bakal menjadi tumpuan utama Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri apabila Khoo Poay Tiong (PH–Kota Melaka) meminta Menteri Kewangan menyatakan matlamat utama pengenalan MHIT termasuk kriteria kumpulan sasaran serta sejauh mana pelan itu dijangka dapat mengurangkan beban kos perubatan isi rumah.

Dalam sesi sama, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), khususnya dalam pengagihan minyak masak peket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin di luar bandar tanpa kemudahan internet.

Selain itu, Datuk Matbali Musah (GRS–Sipitang) mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri berhubung perbezaan pendekatan kerajaan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding kerajaan terdahulu serta manfaat langsung yang dijangka dinikmati rakyat Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli (BN–Jempol) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan langkah konkrit kementerian bagi memastikan graduan memiliki kompetensi sebenar dan tidak terlalu bergantung kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Sidang Dewan Rakyat hari ini turut menyaksikan pelbagai pertanyaan lain melibatkan isu keterjaminan makanan, pendidikan tinggi, kebajikan rakyat serta keselamatan negara sebelum diteruskan dengan urusan mesyuarat dan usul-usul yang telah dijadualkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN