BOGOTA: Kementerian Pengangkutan Colombia mengesahkan sebuah pesawat yang membawa 15 orang terhempas berhampiran sempadan timur negara itu dengan Venezuela pada Rabu, mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.
“Negara kini sedang berkabung,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan secara dalam talian.
Menteri Pengangkutan, Maria Fernanda Rojas dalam satu sidang media menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh mengenai punca nahas sedang dijalankan.
“Kami memahami situasi ini amat sukar buat keluarga yang terlibat. Saya ingin menegaskan pihak kerajaan sedang melaksanakan segala tugas, protokol, dan prosedur yang diperlukan bagi menangani situasi ini serta menyalurkan maklumat yang sahih,” katanya.
Setakat ini, punca sebenar nahas masih belum dapat dipastikan. Namun, laporan awal mendedahkan mangsa yang terkorban termasuk dua anak kapal, seorang ahli Dewan Perwakilan Colombia, dan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Pesawat kendalian syarikat penerbangan komersial milik kerajaan, Satena, sedang dalam penerbangan dari Cucuta menuju ke Ocana di jabatan North Santander apabila ia dilaporkan hilang daripada imbasan radar.
Sumber kawalan trafik udara tempatan menyatakan data sejarah penerbangan menunjukkan pesawat tersebut mengalami penurunan altitud secara mendadak kira-kira 11 minit sebelum dijadualkan mendarat di Ocana.
Pihak berkuasa mengaktifkan Pusat Kawalan Bersatu (PMU) bagi menguruskan tindak balas kecemasan di kawasan nahas yang terletak di pedalaman hutan tebal.
Antara penumpang yang disahkan terkorban ialah ahli Parlimen Dewan Rendah, Diogenes Quintero yang memegang kerusi dikhaskan untuk mangsa konflik.
Beliau ditemani oleh seorang calon yang bertanding untuk kerusi yang sama dalam pilihan raya akan datang, Carlos Salcedo Salazar.
Seorang pegawai kerajaan tempatan memberitahu Al Jazeera pihak berkuasa mengesyaki keadaan cuaca buruk menjadi faktor utama yang menjejaskan penerbangan tersebut sebelum ia terhempas. -AGENSI










