Tak boleh hapus jawatan Pengerusi PN, ada dalam Perlembagaan - Sanusi - Utusan Malaysia

Tak boleh hapus jawatan Pengerusi PN, ada dalam Perlembagaan – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor berbasikal ketika melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Lobi Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cadangan agar jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan bagi merungkai kemelut kepemimpinan gabungan itu adalah tidak wajar kerana ia termaktub dalam Perlembagaan PN.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Perlembagaan PN juga memperuntukkan penubuhan Majlis Presiden yang dianggotai presiden parti komponen sebagai badan penasihat dan pengawal dasar, selain Pengerusi PN selaku eksekutif yang mempengerusikan Majlis Tertinggi (MT).

“Majlis Presiden dan Pengerusi PN adalah dua perkara berbeza. Tak boleh lah nak hapus satu. Dua-dua itu ada dalam Perlembagaan PN. Jadi tak timbul isu nak mansuhkan atau ubah secara sepihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Lobi Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas cadangan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar jawatan tersebut dimansuhkan, susulan pertikaian dalaman berterusan berhubung pelantikan ketua baharu mereka.

Pengerusi PN Kedah itu berkata, sebarang keputusan dalam PN perlu dibuat melalui persetujuan secara konsensus melihatkan semua parti komponen dan tidak boleh ditentukan secara bersendirian.

“Komponen (PN kena konsensus. Tak boleh sorang-sorang. Nak buat apa-apa, nak keluarkan apa-apa kenyataan, kena tengok Perlembagaan. Kalau ikut Perlembagaan, tak ada siapa nak pertikai,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan yang timbul berkait isu itu adalah kerana perbezaan penafsiran Perlembagaan, namun ia tetap perlu dibincangkan dan dirunding secara dalaman oleh anggota dalam MT PN.

“Saya sendiri bukan ahli kepada jawatankuasa itu (Majlis Presiden). Jadi yang bukan ahli, janganlah bercakap dan campur tangan. Semua orang boleh baca dan faham, tetapi dokumen undang-undang perlu ditafsir oleh orang pakar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×