Pekerja ladang didenda RM8,000 miliki 112 unit bahan letupan

Pekerja ladang didenda RM8,000 miliki 112 unit bahan letupan

LIM Siong Ling ( tengah) membayar denda RM8,000 di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang pekerja ladang kelapa sawit dijatuhi denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki bahan letupan tanpa kebenaran.

Majistret Nurul Fakhizaa Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Siong Ling, 54, dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Siong Ling didapati memiliki 112 unit bahan letupan di sebuah premis di No. 15, Lot 1057, tingkat bawah, Jalan Highway Teriang, Bera, kira-kira pukul 5 petang, 23 Januari lalu. 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siri Sarah Aqirah  Loqman, memohon hukuman berat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam, keselamatan orang ramai serta jumlah rampasan yang besar. 

Beliau menegaskan pemilikan bahan letupan tanpa kebenaran boleh mendatangkan risiko tinggi dan hukuman tegas wajar dikenakan sebagai pengajaran.

Sementara itu, peguam bela Lim, Lim Sze Min, memohon hukuman minimum dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan kira-kira RM1,800 sebulan, menanggung lima anak serta mempunyai tanggungan keluarga yang besar. 

Peguam itu turut memaklumkan bahawa tertuduh memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam penghakimannya, mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam, keselamatan berkaitan bahan letupan, serta jumlah barang kes yang banyak dan bukan untuk kegunaan sendiri. 

Terdahulu, polis dilapor membongkar kegiatan penyimpanan dan penjualan mercun tanpa lesen selepas menyerbu sebuah stor di Triang yang menyimpan ratusan mercun dipercayai diimport dari China, bernilai antara RM300,000 hingga RM400,000. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×