KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang peguam berusia 32 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penyeludupan dadah ke dalam Penjara Marang, dekat sini.
Lelaki itu ditahan reman enam hari sehingga 4 Januari ini selepas dipercayai terlibat bersubahat dengan seorang banduan berusia 25 tahun dalam kes berkenaan.
Peguam sama turut turut disiasat berhubung kejadian seorang ejen hartanah dan rakannya dikurung oleh pemungut hutang.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, kes berkaitan dadah itu terbongkar pada 23 Disember lalu ketika pegawai Penjara Marang menjalankan pemeriksaan penerimaan terhadap seorang banduan lelaki yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Katanya, pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat objek asing dalam badan banduan tersebut sebelum dia diasing dan diletakkan di bawah pemantauan rapi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Banduan berkenaan kemudian mengeluarkan sebanyak 12 ketulan disyaki dadah pada 24 Disember lalu disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja. Dia sekali lagi mengeluarkan 14 ketulan lagi pada keesokan harinya yang dipercayai mengandungi pil kuda, ganja dan Erimin 5,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Khairi, susulan itu pengurusan Penjara Marang membuat laporan polis di Balai Polis Marang dan kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Katanya, jumlah keseluruhan rampasan membabitkan pil yaba seberat 123 gram (g) ganja 21g dan Erimin 5 seberat 13g dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16,000 yang boleh digunakan kira-kira 800 penagih.
“Berikutan rampasan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu menjalankan siasatan lanjut dan menahan seorang peguam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 107(C) Kanun Keseksaan kerana bersubahat,” katanya.
Beliau berkata,, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, polis meminta kerjasama orang ramai khususnya penama Nurul Norasikin Aladin, 30, yang beralamat di Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, Nurul Norasikin atau lebih dikenali sebagai ‘Ikin’ juga boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Mohammad Azmi Awang Lah di talian 0109213516.
Katanya, untuk rekod pada 2024 sebanyak empat kes rampasan dadah di lokap dan tahun lalu satu kes menjadikan keseluruhan lima kes rampasan.
“Statistik tangkapan dan rampasan melibatkan Orang Kena Tuduh (OKT) di penjara ada dua kes pada tahun lalu,” katanya.
Sementara, dalam seorang ejen hartanah dan rakannya dikurung oleh pemungut hutang, Mohd. Khairi berkata, mangsa bersama rakannya dikurung di sebuah bengkel di Paka, Dungun, 8 Disember lalu kira-kira pukul 5.30 petang oleh tiga lelaki yang merupakan ejen pemungut hutang.
Katanya, mangsa kemudian dipaksa membayar hutang pelaburan sebanyak RM353,000 bagi dibebaskan namun tidak mampu untuk membayar wang tersebut.
“Suspek kemudian memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan lima kenderaan dan satu geran tanah sebagai cagaran. Akibat ketakutan, mangsa dan rakannya bersetuju menyerahkan kenderaan diminta di satu lokasi,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan yang diserahkan termasuk dua buah Toyota Hilux, Honda CR-V, Toyota Vellfire dan BMW X6.
Menurutnya, pada 15 Disember lalu, mangsa kemudian bertemu suspek (peguam) untuk mendapatkan nasihat berhubung surat cagaran yang ditandatangani mangsa.
“Suspek yang mendakwa mengenali ejen pemungut hutang menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula kenderaan mangsa.
“Mangsa dimaklumkan perlu membayar RM9,000 untuk menebus sebuah Honda CR-V namun selepas rundingan jumlah dikurangkan RM5,000 yang dibayar kepada suspek,” katanya.
Mangsa memperoleh semula Honda CR-V di sebuah masjid di Kuala Ibai pada malam sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 348 Kanun Keseksaan dan polis masih mendapatkan maklumat lanjut mengenai ejen pemungut hutang serta kedudukan kenderaan mangsa.
Beliau berkata, siasatan turut menumpukan kepada sejauh mana penglibatan peguam berusia 32 tahun itu dalam kes yang melibatkan mangsa dan pemungut hutang terbabit. – UTUSAN










