PAT 2026 berkuat kuasa untuk semua doktor mohon sebelum 31 Disember

PAT 2026 berkuat kuasa untuk semua doktor mohon sebelum 31 Disember

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sijil Amalan Tahunan (PAT) bagi tahun ini berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 untuk semua pengamal perubatan yang mengemukakan permohonan lengkap pada atau sebelum 31 Disember 2025.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan dibangkitkan pihak perubatan mengenai pengeluaran PAT dan mengakui kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

“Kedudukan untuk semua pengamal yang terjejas adalah jelas. Permohonan lengkap yang dihantar pada atau sebelum 31 Disember 2025 membolehkan PAT berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

“Tarikh kuat kuasa PAT tidak bergantung kepada tarikh kelulusan atau pengeluaran, manakala indemniti serta status undang-undang pengamal perubatan kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang bekerjasama dengan MPM untuk melaksanakan pelan pemulihan sistemik.

Katanya, antara langkah diambil termasuk pelaksanaan audit dalaman dan akauntabiliti dengan MPM akan mengemukakan laporan terperinci yang menggariskan punca utama, langkah mitigasi serta garis masa konkrit bagi penyelesaian penuh.

“KKM turut mengenal pasti keperluan mendesak untuk menaik taraf Sistem Maklumat dan Teknikal Daftar Perubatan (MeRITS) ke arah aliran kerja digital yang lebih sistematik dan berkapasiti tinggi.

“Pembaharuan dasar juga akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kesan pembaikpulihan digital dinilai terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah dasar seterusnya termasuk semakan Akta Perubatan dan pengenalan Sijil Amalan Berbilang Tahun jika diperlukan.

“KKM komited untuk menyelesaikan perkara ini secara konstruktif. Matlamat kami adalah untuk memastikan ekosistem yang dapat memenuhi keperluan pengamal perubatan dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sekiranya Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan mendapati seorang pengamal perubatan mengamal tanpa PAT di fasiliti berlesen atau berdaftar, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 31(1)(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] termasuk pengeluaran notis tunjuk sebab (NTS) atau kompaun.

Namun katanya, bagi isu kelewatan pengeluaran PAT 2026, Bahagian Amalan Perubatan (BAP) mengambil maklum kenyataan rasmi MPM.

“Selaras dengan ketetapan MPM, tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan oleh CKAPS terhadap mana-mana pengamal perubatan yang belum menerima PAT 2026 sekiranya mereka telah membuat permohonan dan bayaran sebelum atau pada 31 Disember 2025,dan permohonan tersebut masih dalam proses di dalam sistem MeRITS,” katanya.

Semalam, MPM memaklumkan, pengamal perubatan yang masih belum menerima PAT 2026 dibenarkan untuk terus berkhidmat tanpa sebarang tindakan sementara permohonan mereka sedang diproses, susulan jumlah permohonan yang tinggi ketika ini.

Katanya, kelonggaran itu terpakai kepada mana-mana pengamal perubatan yang telah mengemukakan permohonan, membuat bayaran serta mematuhi semua syarat di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Perubatan 2017 sebelum atau pada 31 Disember 2025, namun permohonan mereka masih dalam proses melalui MeRITS.

Bagaimanapun, kelonggaran tersebut tertakluk kepada syarat pengamal perubatan berkenaan tidak berada di bawah sebarang sekatan, penggantungan atau larangan amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, kelewatan MPM meluluskan PAT 2026 boleh menjejaskan sektor perkhidmatan kesihatan negara apabila menyebabkan lebih 14,000 doktor dilaporkan berkhidmat secara tidak sah.

Dianggarkan lebih 70,000 doktor dan mengamal perubatan perlu memperbaharui APC pada tahun ini.

Kelewatan tersebut menimbulkan kebimbangan serius kerana PAT merupakan sijil rasmi yang diperlukan oleh setiap pengamal perubatan berdaftar untuk berkhidmat secara sah di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN