PETALING JAYA: Pas perlu memimpin Perikatan Nasional (PN) demi kestabilan gabungan politik itu ekoran pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi pada 1 Januari lalu.
Bekas Ketua Setiausaha Politik Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, semua pihak perlu mengetepikan persepsi bukan Islam boleh terima atau sebaliknya agar Pas mengetuai, namun paling penting parti lebih kuat mesti memimpin PN.
Katanya, sekiranya Pas dipilih mengetuai PN bakal menjadi kali pertama dalam sejarah politik negara apabila parti Islam mengetuai sebuah gabungan nasional.
“Ini satu eksperimen baharu. Sudah tentulah ada pihak yang bimbang. Ada pihak yang gusar. Ada pihak yang mengkritik.
“Ada masanya kritikan disampaikan dengan lembut. Ada masanya pedas. Itu demokrasi. Terima sajalah kritikan. Jangan label pengkritik dengan bermacam label.
“Berjaya atau tidak eksperimen ini? Saya tidak tahu. Malah, saya belum yakin. Apapun saya ucapkan selamat berjaya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Marzuki hairan dengan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa peletakan jawatan Pengerusi PN mesti diputuskan Majlis Tertinggi PN.
“Seolahnya Pengerusi tiada hak untuk berhenti. Ini tak betul. Saya tanya Setiausaha Eksekutif PN siapa yang deraf Perlembagaan PN? Dia kata dia yang deraf dan telah ditunjukkan kepada saya sebelum dihantar ke Pendaftar Pertubuhah (ROS) untuk kelulusan.
“Saya tak ingat. Kalau pernah ditunjukkan kepada saya, maka salah sayalah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu menghormati hak Muhyiddin untuk meletakkan jawatan.-UTUSAN










