Pas tolak kerjasama membenarkan salah laku

Pas tolak kerjasama membenarkan salah laku

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pas tidak akan bekerjasama dalam sebarang salah laku, meskipun membabitkan ahli-ahlinya sendiri, termasuk dalam isu krisis politik yang berlaku di Perlis.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu diambil kerana Pas tidak pernah mengkhianati perjanjian serta tidak berundur daripada sebarang bentuk kerjasama yang berlandaskan prinsip.

Menurut beliau, Pas mengamalkan beberapa pendekatan fiqh politik Islam dalam menjalin kerjasama politik, antaranya konsep tahaluf (muafakat secara rasmi bersyarat) dan ta‘awun (kerjasama secara lebih umum) dengan parti-parti lain.

“Namun begitu, Pas tidak boleh bekerjasama dalam membenarkan salah laku, contohnya yang berlaku di Perlis, walaupun ia dilakukan oleh ahli sendiri dan melibatkan kehilangan kerusi yang boleh menjatuhkan kerajaan.

“Pas tidak pernah mengkhianati perjanjian dengan mana-mana pihak dan tidak lemah atau berundur dalam kerjasama. Hanya segelintir yang gugur dalam perjalanan, namun lebih ramai bersama Pas apabila mereka mengenali parti ini dengan lebih dekat,” katanya dalam Minda Presiden hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas sebelum ini pernah merintis kerjasama dengan pelbagai parti bagi menentang kezaliman dan kerosakan demi kepentingan negara serta rakyat.

“Pas pernah bertahaluf dengan Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) ketika tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969, begitu juga dengan Parti Semangat 46 yang berpecah daripada UMNO.

“Selepas itu, Pas bertahaluf bersama PKR dan DAP bagi menentang kezaliman serta pencabulan terhadap demokrasi. Kemudiannya, Pas berta‘awun dengan UMNO dalam usaha meminda Rang Undang-Undang (RUU) 355 berkaitan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah,” katanya.

Beliau menambah, bangsa Melayu Islam perlu berusaha mengembalikan kedaulatan Islam sebagai tanggungjawab besar dalam usaha menyelamatkan dunia, memandangkan wilayah Alam Melayu mempunyai jumlah penganut Islam yang terbesar.

“Malah, ia kaya dengan sumber manusia daripada masyarakat majmuk serta sumber alam kurniaan Allah, selain memiliki kelebihan kedudukan geografi yang strategik dalam jajaran hubungan antarabangsa,” katanya.

Katanya, semua pihak wajib mengetepikan kepentingan dunia seperti kepentingan diri, pangkat dan harta bagi merealisasikan hubungan seagama, bangsa dan kemanusiaan agar usaha perpaduan ummah wajib dilaksanakan sehingga menjadi kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN