PETALING JAYA: Pas sudah memilih untuk ‘lepas’ dan ‘teruskan’ (move-on) selepas kehilangan jawatan Menteri Besar Perlis kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menggesa ‘senjata’ dialihkan kepada musuh Perikatan Nasional (PN) yang sebenar.
Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, perbahasan mengenai sama ada krisis politik yang berlaku di Perlis itu merupakan perbuatan khianat atau sebaliknya sudah tidak penting.
Kata beliau, kemelut tersebut tidak perlu lagi dipanjangkan di dalam moden terbuka kerana Pas sudah memilih untuk lepas dan teruskan.
“Pas telah bersikap ‘move-on’ apabila kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti hadir di dalam Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar yang baharu.
“Bahkan, Pas turut menyokong Kerajaan Negeri Perlis yang baharu agar fungsi kerajaan negeri dan khidmat kepada rakyat dapat diteruskan.
“Itu semua bukti Pas telah ‘move-on’ walaupun luka masih ada. Usah lagi ditoreh dengan luka yang lain, jangan ada lagi gunting dalam lipatan. Sekarang masa untuk alihkan senjata kepada musuh yang sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu mengkhianati Pas dalam krisis politik di Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar sebelum ini daripada Pas, Mohd. Shukri Ramli.
Menurut Muhyiddin, beliau mendapat penerangan daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi berhubung perkara itu dan pihak di Perlis menyatakan mereka tidak terbabit.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi berkata, Pas menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang menerima pendirian presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, pendirian tersebut mempermudahkan proses peralihan kepemimpinan di dalam PN yang akan diputuskan kelak.
“Selain itu, pendirian Bersatu untuk kekal sebagai rakan dalam PN juga tetap dihormati. Lagipun, bak kata seorang tokoh pujangga yang hebat sehari dua ini, hormat menghormati amalan mulia.,” katanya. – UTUSAN









