SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 52, mengambil keputusan menarik balik permohonan cerai terhadap suami, Dr. Rushdi Ramli, 59.
Penyanyi lagu Dendam Dalam Diam itu mengambil keputusan itu dengan syarat tiada gangguan rumah tangga dari pihak ketiga.
“Saya sangka hari ini saya dan suami akan berpisah. Bila masih bersama itu maksudnya jodoh kami masih panjang, Alhamdulillah.
“Saya percaya Allah menentukan segalanya dan saya yakin semua yang berlaku ini adalah atas kehendaknya,” katanya.
Nora pagi tadi hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini ditemani kakaknya, Wan Suraya Ariffin, 69.
Turut hadir Dr. Rushdi bersama peguam, Azmi Mohd. Rais.
Pemilik nama penuh Wan Norafizah Ariffin memaklumkan keputusan berkenaan juga dibuat selepas mendapatkan nasihat keluarga termasuk kakaknya.
“Saya tidak membuat keputusan ini sendirian, ada kakak dan keluarga yang menasihatkan saya.
“Dia (Wan Suraya) mengikuti perkembangan kes perceraian ini dan selalu menjadi penasihat kami.
“Anak-anak juga memberikan sokongan tetapi mereka lebih memilih untuk tidak mencampuri urusan saya dan suami.
Mereka percaya apa juga keputusan yang dicapai, itulah yang terbaik,” kongsinya.
Nora dalam masa yang sama mengakui kebaikan suami menjadi antara faktor yang mendorong keputusan beliau untuk menyelamatkan rumah tangga.
“Yang penting, sebagai isteri saya kena mentaati suami dan saya tak boleh ambil remeh kebaikan dia. Selain gangguan (pihak ketiga), suami saya lelaki yang baik.
“Kita tak boleh mengharapkan kesempurnaan dalam sesebuah perkahwinan, tapi kita sendiri yang kena cuba untuk menjadi manusia lebih baik. Insya-Allah, kita tawakal dan buat yang terbaik,” katanya lagi.
Disoal mengenai ruang perdamaian dengan isteri pertama Dr. Rushdi dan anak-anaknya, Nora menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah.
“Wallahualam, kita berusaha dan ikhtiar, yang lainnya kita berserah. Hati manusia Allah yang pegang dan boleh ubah. Kita buat yang terbaik.
“Tentunya saya akan ikut prosedur undang-undang dan selesaikan apa yang perlu selepas ini.
“Diharapkan tahun 2026 ini tenang-tenang sahaja. Saya pun terlalu sibuk dengan kerja dan yang penting saya fokus pada kerjaya saya,” ujarnya.
Nora sekitar April tahun lalu memfailkan permohonan cerai di mahkamah sama susulan krisis rumah tangga, campur tangan pihak ketiga, dan kegagalan mencapai kata sepakat dengan suami.
Pasangan tersebut sah bergelar suami isteri lima tahun lepas dengan pemberitahuan itu dibuat pada Disember 2021 menerusi media sosial.
Nora sebelum itu bergelar isteri kepada komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada Mac 2017. Mereka dikurniakan empat cahaya mata. – UTUSAN










