KOTA TINGGI: Penugasan Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan dilaksanakan mengikut mandat ditetapkan oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang tindakan melibatkan operasi tertakluk sepenuhnya kepada struktur pemerintahan di bawah UNIFIL dan tidak boleh dibuat secara sepihak oleh Malaysia.
“Bagi penugasan MALBATT, kita tertakluk kepada mereka kerana apabila kita menyertai misi ini, struktur pemerintahan dan keputusan operasi berada di bawah UNIFIL.
“Jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri termasuk menarik keluar pasukan tanpa melalui proses yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat, Kota Tinggi, di sini semalam.
Sebelum ini, beberapa insiden letupan dilaporkan berlaku berhampiran kawasan operasi UNIFIL di selatan Lubnan susulan ketegangan antara Israel dan Hezbollah.
Mohamed Khaled berkata, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan dan keadaan masih terkawal.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan anggota sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.
“Jika situasi memerlukan, kita ambil langkah mengehadkan pergerakan atau mengarahkan anggota berada di dalam kubu, namun semuanya perlu selaras dengan garis panduan UNIFIL.
“Ketika ini, seramai lebih 500 anggota MALBATT berada di Lubnan sebagai sebahagian daripada misi pengaman antarabangsa. Kita di sana sebagai pasukan pengaman, tiada bawa senjata untuk perang,” katanya.-UTUSAN










