35,000 nelayan tercicir subsidi petrol

35,000 nelayan tercicir subsidi petrol

NELAYAN yang keluar sehingga puluhan batu nautika memerlukan sekurang-kurangnya 100 hingga 150 liter petrol bagi setiap tangkapan sekali gus memaksa mereka menampung baki kos menggunakan wang sendiri.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 35,000 nelayan pantai didakwa tercicir daripada menikmati subsidi petrol mencukupi apabila kuota sedia ada tidak menepati keperluan sebenar operasi mereka, khususnya bagi yang menangkap ikan di kawasan lebih jauh dari pesisir pantai.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, kuota maksimum sekitar 45 hingga 50 liter sehari ketika ini hanya mencukupi bagi nelayan zon berhampiran pantai, namun tidak bagi sebahagian besar nelayan yang menggunakan kaedah tangkapan seperti pukat ikan kembong, rawai dan menangkap ikan tenggiri.

Katanya, nelayan yang keluar sehingga puluhan batu nautika memerlukan sekurang-kurangnya 100 hingga 150 liter petrol bagi setiap tangkapan sekali gus memaksa mereka menampung baki kos menggunakan wang sendiri.

“Nelayan zon A yang beroperasi sekitar lima hingga enam batu dari pantai mungkin mencukupi dengan 45 liter sehari, tetapi bagi nelayan lain yang pergi lebih jauh, jumlah itu langsung tidak memadai.

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos tambahan sendiri, sedangkan hasil tangkapan tidak menentu dan harga ikan di peringkat nelayan pula tidak banyak berubah sejak sekian lama,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengikut rekod, kerajaan memberikan subsidi petrol kepada nelayan pada harga RM1.65 seliter dan terhad untuk 45 liter sehari, sedangkan keperluan sebenar nelayan jarak jauh mencecah 150 liter sehari.

Sekiranya subsidi petrol tidak mencukupi, mereka boleh membeli dengan harga subsidi BUDI95 pada harga RM1.99 tetapi terhad 20 liter sehari, manakala selebihnya perlu membayar mengikut harga pasaran. Pada masa ini harga petrol RON95 tanpa subsidi adalah RM3.87 seliter.

Tambahan pula, nelayan yang dapat lesen khas hanya boleh memperoleh harga subsidi petrol selepas dua tahun dan mereka terpaksa menggunakan kuota individu BUDI95 yang hanya terhad kepada 20 liter.

Mohd. Faizal berkata, pihaknya memohon kerajaan mempertimbangkan semula mekanisme subsidi petrol dengan mengambil kira keperluan sebenar nelayan berdasarkan jarak operasi masing-masing.

Katanya, nelayan yang memerlukan penggunaan petrol lebih tinggi boleh membuat permohonan baharu melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mendapatkan kuota tambahan yang disahkan mengikut jenis dan kawasan tangkapan.

“Kita harap kerajaan dapat meluluskan permohonan ini supaya nelayan tidak terus terbeban. Jika tidak, ia membuka ruang kepada persepsi negatif termasuk tuduhan kononnya nelayan membeli minyak secara tidak sah menggunakan tong biasa,” ujarnya.

Tambah beliau, penggunaan tong khas yang mempunyai cop LKIM adalah bukti pembelian subsidi yang sah, manakala penggunaan bekas lain boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penguat kuasa dan masyarakat.

Mohd. Faizal berkata, tekanan kos operasi semakin dirasai nelayan apabila harga bahan api meningkat saban tahun, sedangkan harga ikan di peringkat nelayan kekal hampir tidak berubah sejak era 1990-an.

“Keadaan ini menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil, malah ada nelayan terpaksa mengurangkan kekerapan turun ke laut kerana tidak mampu menampung kos,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN