Nilai estetika kusasteraab dalam Perempuan Kopi

Nilai estetika dalam Perempuan Kopi

HANOM IBRAHIM SHAA ZAINOL dan ROZITA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam jagat kesusasteraan Melayu, tidak dinafikan penulis wanita banyak memberi sumbangan dalam pelbagai genre penulisan.

Apatah lagi senarai penerima anugerah sasterawan negara, dua penulis wanita telah dinobat sebagai Sasterawan Negara iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Justeru, penerbitan buku antologi puisi bertajuk Perempuan Kopi (PK) jelas menggambarkan sejumlah penulis wanita yang begitu berbakat dan menyerlah dalam penulisan puisi. Jumlah penulis wanita dalam buku ini juga menggambarkan penulis wanita tidak pernah pupus dalam jagat kesusasteraan.

Buku PK diusahakan penerbitannya oleh Abuyon Studio dan diselenggarakan oleh Abuyon. Buku PK berharga RM25 dan cetakan pertama tahun 2025.

Seramai 30 penulis wanita yang menyumbangkan tiga sajak setiap seorang yang menjadikan 90 sajak kesemuanya.

Nama penulis yang menyumbang ialah Rozita Mohamed Baki (Guru Kidal), Shaa Zainol, Jerrah Amirah, Syaa, Dwiputeh, Nur, Hajar’ul Aswad, Ida Adinda, Rah Jaffar, S. Mahfuzah, Jenny O, Suraya Salehuddin, Muslimah Taslim, Iffa Aini Hamd, Cura Lara, Alamanda Desa, Hanom Ibrahim, Yanz Hamzah, Idaidayu MD, Seri Jasmina, Nurul Ismail, Wulan Lestari, Ashfurreey Fatimah, Intan Juliana, Zaleha Mat Ail, Rosnani Abdullah, Malhis Tompang, Sabariah Eda Yaakub, Halidah Arifin dan Nurmurni.

Beberapa penulis wanita dalam buku PK dikesan aktif dan produktif menulis dan turut memenangi hadiah. Antaranya, Guru Kidal yang memenangi Hadiah Sastera Darul Iman ke-7, 2025 dan Pemenang Hadiah Utama Sayembara Menulis Sajak Sambutan Jubli Intan 60 tahun PELITA.

Demikian juga dengan Shaa Zainol. Seorang penulis aktif menulis dan karya tersiar di akhbar, majalah dan media maya. Shaa Zainol juga produktif dalam aktiviti penulisan yang dianjurkan oleh persatuan penulis, negeri dan peringkat kebangsaan.

Paling menarik antologi puisi PK mengaitkan perempuan dengan kopi. Diperturunkan beberapa soalan yang dinyatakan oleh penyelenggara dalam Seteguk Rasa Editor dan Penyelenggara.

“Benarkah perempuan dan kopi, sinonim? Di  manakah rona ungu dan kupu-kupunya? Apakah sungguh perempuan dan kopi begitu akrab?

Setujukah perempuan bila mana T. Alias Taib menyatakan perempuan yang sepi itu hatinya secawan kopi dan ia minum hatinya sendiri? Apakah makna secawan kopi untuk seorang perempuan?

Adakah ia cinta atau racun atau ada suatu rahsia, misteri di sebalik pahit dan hitamnya? Adakah seorang lelaki atau yang istimewa di balik secangkir kopi?

Barangkali hirupan atau bancuhan kopi adalah memori yang tak terlupakan saat sendirian atau ada nostalgia yang melekat saat hirupan kopi yang pertama?”

Menurut Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Salleh, metafora adalah elemen penting dalam puisi-puisi dan menentukan nilai estetikanya.

Sehubungan itu, apabila ditatap 90 sajak dalam PK, amat jelas kopi dijadikan metafora pada setiap sajak. Perlambangan kopi dikaitkan dengan pelbagai kisah kehidupan membabit dan asam garam kehidupan.

Walaupun hampir kesemua sajak dalam PK ini memiliki ciri-ciri sajak minimalis, metafora menjadi elemen penting yang membuatkan pembaca berfikir apakah maksud tersirat yang ingin disampaikan oleh penulis.

Secara tidak langsung nilai estetika sesebuah sajak menonjol biarpun naratif kata-katanya singkat tapi maksudnya padat kerana mencabar pemikiran pembaca.

Sebagai contoh dipaparkan sebuah sajak berjudul Kopi perempuan luka karya Malhis Tompang.

Apakah maksud kopi dalam sajak ini? Adakah sejenis minuman yang sedap diminum atau tidak sedap langsung? Jelas metafora dalam sajak ini menggambarkan tentang kelukaan hati seorang perempuan mengharungi kehidupan.

Kopi perempuan luka

kalau pahit
jangan kautanya
mengapa kurang gula
nanti pecah cawan di meja
senyumlah dan fokus bicaranya
apa lagi leteran berbisa

jangan kautanya pula
berapa dalam lukanya
nanti tumpah kopimu
menjadi sungai darah
kerana hatinya patah

perempuan dan kopi
kautelan meski pahit
kauhadam meski sakit

Begitu juga dengan sebuah sajak paling pendek barisnya iaitu sebanyak lima baris dan terlalu minimalis. Sajak berjudul Hati seorang perempuan karya Hanom Ibrahim jelas menggambarkan kopi sebagai metafora perbandingan tentang hati seorang perempuan yang terluka atau dilukai.

Hati seorang perempuan

pucat malam disimbah aroma
meratakan persimpangan pahitnya
di hati perempuan itu

diterbangkan angkara manis kopi semalam
likat, yang tiba-tiba mencair

Demikian juga dengan sajak lain yang menggunakan kopi sebagai simbol metafora. Pelbagai tema dan persoalan yang dapat dibaca dan dihayati oleh pembaca khususnya peminat tegar sajak. Namun dalam ruangan terhad ini, saya hanya mengambil dua contoh sajak untuk memaparkan nilai estetika buku PK.

Kesimpulannya, kopi bukan sekadar bahan minuman yang menjadi kesukaan perempuan, tetapi menjadi bahan metafora dalam puisi. Bahan perbandingan tentang kehidupan yang melibatkan manis kopi, pahit kopi, tumpah kopi dan sebagainya yang membuatkan pembaca berfikir bahawa

‘Perempuan Kopi’ menyimpan pelbagai persoalan yang menyerlahkan nilai estetika sesebuah sajak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN