Musim tengkujuh: Anak nelayan berbaju lusuh ke sekolah

Musim tengkujuh: Anak nelayan berbaju lusuh ke sekolah

MOHD. Yuskhairul Alhasis Mat Yunus (kiri) menyerahkan sumbangan barang keperluan dapur kepada Hashim Jusoh (dua dari kanan) di Kampung Pantai Geting Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Musim tengkujuh yang berlanjutan dengan ombak besar dan angin kencang bukan sahaja menutup sumber rezeki nelayan, malah memaksa anak-anak mereka memulakan sesi persekolahan dengan serba kekurangan termasuk mengenakan pakaian sekolah lusuh.

Itu realiti dilalui nelayan pesisir pantai, Hashim Jusof, 49, apabila tidak dapat turun ke laut hampir dua bulan, sekali gus menjejaskan keupayaannya menyediakan kelengkapan persekolahan baharu untuk anak-anaknya.

Katanya, tiga anaknya yang bersekolah rendah dan menengah memakai pakaian lama kera­na dia langsung tidak bekerja sepanjang musim tengkujuh.

“Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan yang diterima digunakan sepenuh­nya untuk perbelanjaan keluarga.

“Selain itu, saya menggunakannya untuk membeli pakaian persekolahan anak bongsu berusia lima tahun di tadika,” katanya ketika ditemui pada Program Sahabat Maritim di Kampung Pantai Geting, di sini, semalam.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pos Maritim Pengkalan Kubor, Leftenan Madya Mohd. Yuskhairul Alhasis Mat Yunus.

Hashim berkata, meskipun tiga anaknya menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 setiap seorang, ia hanya diperoleh seminggu selepas sesi persekolahan bermula.

“Wang BAP itu digunakan untuk membeli buku dan alat tulis. Ia tidak mencukupi untuk membeli pakaian sekolah baharu,” ujarnya.

Dia bersyukur apabila empat anaknya terpilih menerima baucar pakaian sekolah yang memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

“Sumbangan ini benar-benar membantu dan membuatkan anak-anak saya gembira dapat memakai pakaian sekolah baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN