PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ekoran tular sepucuk surat kononnya parti itu dan Pas mencadangkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, surat jawapan daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang jelas membuktikan Muhyidddin sengaja menyimpang apa yang dipersetujui secara bersama dengan harapan untuk kembali sebagai Pengerusi PN.
Katanya, beliau kecewa dengan tindakan Muhyiddin yang boleh mencemarkan imej PN dalam kalangan kalangan rakyat dan merosakkan hubungan Bersatu dengan rakan komponen lain terutamanya Pas.
“Sebagai seorang Presiden, Tan Sri Muhyiddin pastinya tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Lembaga Disiplin atas keputusan dan tindakannya. Namun atas kepentingan parti dan rakan-rakan komponen, beliau harus mengambil tanggungjawab moral untuk melonjakkan keyakinan rakyat terhadap Bersatu dan PN.
“Maka, saya sekali lagi memohon dengan penuh rasa tanggungjawab untuk Muhyiddin berundur secara terhormat sebagai Presiden demi kelangsungan Bersatu dan PN. Tan Sri Muhyiddin perlu letak jawatan segera,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menyangkal kenyataan Muhyiddin berkenaan pemansuhan jawatan Pengerusi PN seperti yang terkandung di dalam surat Presiden Bersatu itu yang tersebar kepada media.
Beliau berkata, isu itu sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh Pas termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.
Presiden Pas merujuk dakwaan Muhyiddin yang mana Bersatu dan Pas telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu.
Menerusi surat yang tersebar kepada media, Muhyiddin dilaporkan berkata, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala Pas akan mengetuai Jawatankuasa Eksekutif. – UTUSAN










