Lindungi pekerja daripada penyakit di tempat kerja

Lindungi pekerja daripada penyakit di tempat kerja – Dzulkefly Ahmad

Dzulkefly Ahmad pada Majlis Anugerah MiSHA Asia Excellence Award on OSH Prevention (OSHPoP) 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap pekerja berhak untuk pulang ke rumah dalam keadaan selamat serta dilindungi daripada penyakit, khususnya penyakit yang diperoleh di tempat kerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua pihak perlu akui bahawa aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bukan hanya tertumpu kepada pencegahan kemalangan fizikal di tapak pembinaan semata-mata.

“Sebaliknya ia turut merangkumi pencegahan masalah kesihatan jangka panjang seperti penyakit pernafasan, pendedahan kepada bahan kimia dan bahaya psikososial.

“Tempat kerja yang selamat menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan daya saing dan tenaga kerja yang sihat merupakan nadi kepada ekonomi yang kukuh,” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Kecemerlangan Peringkat Asia Prinsip Pencegahan keselamatan & Kesihatan di sini, malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) selain turut dihadiri wakil daripada Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Myanmar, India, Filipina dan Indonesia.

Katanya, pelaburan dalam aspek keselamatan bukanlah satu kos, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang menjamin inovasi serta daya tahan organisasi dan negara.

Terdahulu, sebanyak 81 kategori anugerah telah dipertandingkan, melibatkan 60 buah syarikat daripada beberapa buah negara.

Turut disampaikan termasuk Anugerah Pena Emas sebagai penghargaan khas kepada rakan media yang aktif menyebarluaskan kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Anugerah ini juga bertujuan mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan risiko serta pelaksanaan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN