KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus mengembangkan sektor pelancongan perubatan (medical tourism) berikutan kos rawatan yang berpatutan serta kualiti perkhidmatan kesihatan yang setanding dengan negara maju.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kos perubatan di Malaysia antara yang paling kompetitif di rantau ini, khususnya di sektor swasta yang menawarkan tempoh menunggu rawatan yang jauh lebih singkat berbanding negara seperti United Kingdom (UK).
“Di negara kita, khususnya sektor swasta, pesakit tidak perlu menunggu lama untuk berjumpa pakar. Berbanding di UK, untuk bertemu pakar pun boleh mengambil masa berbulan-bulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, keadaan ini membuka ruang luas kepada hospital swasta untuk menarik pesakit antarabangsa, terutamanya dari Indonesia dan Timur Tengah.
Katanya, ketika ini, beberapa hospital swasta turut menerima pesakit melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Universiti.
“Ramai pesakit dari Indonesia, Timur Tengah dan negara jiran datang mendapatkan rawatan di Malaysia.
“Ini satu peluang besar untuk hospital swasta, walaupun hospital awam berdepan kekangan untuk terlibat secara langsung dalam pelancongan perubatan,” katanya.
Noor Hisham turut menjelaskan, kepakaran doktor tempatan menjadi tarikan utama, termasuk pakar dari hospital awam yang berkhidmat secara ‘locum’ atau sebagai pakar pelawat di hospital swasta, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor ini.
“Dari segi daya saing serantau, beliau menegaskan kualiti rawatan di Malaysia setanding dengan Singapura, namun pada kos yang jauh lebih rendah.
“Kualiti rawatan kita setanding Singapura, tetapi kosnya boleh menjadi sekitar 30 peratus lebih murah. Di Singapura, kos rawatan boleh mencecah sehingga tiga kali ganda lebih tinggi,” katanya.
Jelas beliau, faktor kos yang munasabah, keputusan rawatan yang baik serta impak ekonomi yang tinggi menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelancong perubatan.
“Data daripada Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) menunjukkan pendapatan sektor pelancongan perubatan negara telah melebihi RM1 bilion, mencerminkan perkembangan positif industri ini.
“Pulau Pinang antara negeri yang menerima manfaat besar daripada trend ini, dengan dianggarkan sehingga 80 peratus pesakit di beberapa hospital terdiri daripada pesakit antarabangsa, terutamanya dari Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham turut menyentuh isu kos rawatan dan struktur pembiayaan kesihatan negara.
“Bayaran profesional doktor dan pakar tidak disemak selama lebih 20 tahun, manakala kos bukan profesional seperti peralatan perubatan dan operasi hospital terus meningkat akibat inflasi, faktor geopolitik dan kadar tukaran mata wang.
“Bayaran profesional dikawal oleh akta, tetapi kos bukan profesional tidak dikawal dan terus meningkat. Ini memberi tekanan kepada keseluruhan kos rawatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk pembaharuan menyeluruh sistem pembiayaan kesihatan negara, bukannya perubahan secara kecil atau berperingkat yang mudah dipolitikkan.
“Apa yang perlu diubah ialah sistem, bukan sekadar kadar bayaran. Kita perlukan satu sistem pembiayaan kesihatan yang lebih mampan, seperti model ‘single payer’, di mana setiap rakyat mempunyai perlindungan insurans dan boleh mendapatkan rawatan sama ada di hospital awam atau swasta,” katanya.
Beliau menambah, tanpa reformasi sistemik, tekanan kos dalam sektor kesihatan dijangka terus meningkat pada masa hadapan. – UTUSAN










