Portugal tidak bergantung kepada Ronaldo

Portugal tidak bergantung kepada Ronaldo

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo (tengah) bersama rakan sepasukannya meraikan kejayaan mereka apabila menewaskan Croatia 2-1 dalam pusingan kalah mati Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Gol pada masa kecederaan membawa Portugal ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menumbangkan Croatia 2-1, semalam.

Penyerang Portugal, Goncalo Ramos muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94, sekali gus mengesahkan kemaraan skuad kendalian Roberto Martinez.

Gol penyerang berusia 25 tahun itu, sekali gus membuktikan Portugal tidak hanya bergantung kepada Cristiano Ronaldo sahaja untuk menjaringkan gol pada edisi kali ini.

“Ia sukar kerana jika kami kalah, kami akan pulang ke rumah. Tetapi saya sukakan saat-saat seperti ini.

“Saya mahu bermain dalam perlawanan yang penuh tekanan dan berada dalam detik-detik penting,” kata Ramos.

Portugal terlebih dahulu dikejutkan menerusi jaringan Ivan Perisic pada minit ke-53 sebelum Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-68.

Gol itu turut mencipta sejarah apabila Ronaldo menjadi pemain tertua yang menjaringkan gol dalam aksi kalah mati Piala Dunia, selain merupakan jaringan pertamanya pada peringkat tersebut sepanjang kariernya.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Ramos muncul tepat pada masanya apabila menanduk masuk gol kemenangan pada masa kecederaan.

Keputusan itu mengecewakan jurulatih Croatia, Zlatko Dalic yang merasakan anak buahnya tidak sepatutnya tersingkir dengan cara sedemikian.

“Kami tidak layak menerima pengakhiran seperti ini. Sangat sukar untuk bolos pada saat akhir, tetapi kami sepatutnya mengendalikan situasi itu dengan lebih baik,” katanya.

Kemenangan itu turut membawa makna besar buat Portugal yang turun beraksi sehari sebelum ulang tahun pertama pemergian penyerang mereka, Diogo Jota, akibat kemalangan jalan raya.

Selepas wisel penamat, Ronaldo dilihat menyarungkan jersi bernombor 21 milik Jota sambil menahan sebak sebagai penghormatan kepada bekas rakan sepasukannya itu.

Portugal kini akan berdepan Sepanyol pada pusingan 16 terbaik di Dallas, dengan pemenang bakal menentang sama ada Belgium atau Amerika Syarikat peringkat Suku Akhir.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN