CARACAS: Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodríguez kelmarin menolak dakwaan kerajaannya bertindak terlalu lambat dalam menangani kemusnahan akibat dua gempa bumi yang mengorbankan lebih 2,600 nyawa.
Beliau berkata demikian selepas beberapa hari berdepan kritikan meluas terhadap usaha tindak balas bencana alam yang memusnahkan pesisir utara negara itu.
“Ini adalah bencana alam pada skala yang tidak pernah kami bayangkan, walaupun kami sedar kejadian seismik boleh berlaku di negara kami.
“Kami tidak menunggu sehari, dua hari atau tiga hari. Kami bertindak serta-merta,” katanya pada sidang media pertama sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada Januari selepas penyingkiran Nicolas Maduro oleh Amerika Syarikat (AS).
Rodríguez berkata, kerajaan mengisytiharkan darurat bagi mengaktifkan mekanisme perlindungan awam serta protokol kecemasan hanya beberapa jam selepas dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda pada Rabu minggu lalu.
Beliau turut memaklumkan hampir semua pegawai kerajaan wilayah di La Guaira, negeri pesisir pantai yang paling teruk terjejas itu terkorban apabila bangunan yang mereka diami runtuh.
Menurut Rodríguez, angka korban kini meningkat kepada 2,595 orang, tetapi kerajaan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
“Kami masih boleh menemui mangsa yang masih hidup,” katanya kepada puluhan wartawan antarabangsa yang menghadiri sidang media itu.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar individu yang masih hilang.
Senarai dalam talian yang tidak rasmi tetapi digunakan secara meluas menunjukkan kira-kira 38,500 orang masih belum dapat dikesan setakat petang Khamis, berbanding hampir 60,000 orang pada hari-hari awal selepas gempa bumi berlaku. – AGENSI










