Kerajaan Selangor tidak akan sedia peruntukan kewangan operasi ternakan babi

Kerajaan Selangor tidak akan sedia peruntukan kewangan operasi ternakan babi

Garis panduan ladang babi
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan.

Ia merupakan antara tiga perkara diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas berkenan menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada hari ini.

Baginda menegaskan ketiadaan penyediaan sebarang peruntukan kewangan atau pelaburan terhadap operasi penternakan babi itu termasuk di kawasan Bukit Tagar.

“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” titah Baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah.

Selain itu, Sultan Sharafuddin menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.

“Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan,” titah Baginda.

Sultan Selangor mengarahkan satu kajian yang terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah dilaksanakan bagi mengenalpasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor.

“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.

“Dapatkan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” kata kenyataan itu.

Baginda juga berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang.

“Demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor sentiasa terpelihara,” titah Baginda. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN