PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda tidak perlu membayar RM5 juta kepada keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu.
Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM5 juta kepada RM1.38 juta sahaja.
Keputusan sebulat suara dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Hakim K. Muniandy.
Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya menyatakan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila menganugerahkan ganti rugi asal sebanyak RM5 juta.
Panel terbabit memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius (tanggungan) terhadap tindakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dengan alasan mereka tidak menjalankan tugas rasmi pada masa pembunuhan berlaku.
Prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan dan peguam-peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang manakala Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili Abdul Razak.
Sebelum ini, kerajaan dan Abdul Razak merayu keputusan Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada 16 Disember 2022 yang memerintahkan mereka membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am dan teladan selepas membenarkan tuntutan saman keluarga itu terhadap empat pihak. – UTUSAN










