Kerajaan lancar Dashboard MA63, platform digital rasmi  

Kerajaan lancar Dashboard MA63, platform digital rasmi  

FADILLAH Yusof ketika ditemui media selepas melancarkan Dashboard MA63, di Bangunan Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) sebagai platform digital rasmi mengenai pelaksanaan undang-undang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, platform itu akan memaparkan status terkini mengenai pelaksanaan, perundingan serta latar belakang perundangan berkaitan hak Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, sebelum ini maklumat berkaitan pelaksanaan MA63 berselerak di pelbagai platform termasuk media massa dan hansard Parlimen, tanpa satu rujukan awam yang menyeluruh dan mudah diakses.

“Dashboard MA63 diwujudkan sebagai platform pemantauan bersepadu yang membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih tepat, tersusun dan masa sebenar (real time), selaras dengan prinsip ketelusan dan semangat reformasi yang ditekankan oleh Kerajaan MADANI.

“Malah rakyat juga dapat melihat segala kegiatan berkaitan berhubung kait bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak serta pelaporan berhubung kait dengan status perundingan di bawah MA63,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dashboard MA63, di Bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud dan pemimpin-pemimpin dari Sabah serta Sarawak.

Fadillah berkata, setakat ini sebanyak 29 perkara sudah dibincangkan di bawah platform rasmi dan daripada jumlah itu 13 perkara dilaksanakan termasuk sembilan perkara yang diselesaikan di bawah pentadbiran kerajaan Madani.

“Bagaimanapun 16 perkara masih lagi dalam perbincangan. Ini kerana apa yang terkandung disebabkan sejarah lama, ada perkara yang sepatutnya diberikan hak kepada Sabah dan Sarawak tapi ia masih tidak dilaksanakan.

“Tapi ini perkara yang berlaku pada kepimpinan terdahulu, jadi tugas kita adalah untuk leraikan kerana ada isu kita terpaksa pindahkan perlembahaan dan memerlukan rundingan lebih terperinci, ia bukan satu perkara yang mudah,” katanya.

Tambahnya, matlamat utama pelaksanaan MA63 adalah untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang utuh, stabil dan bersatu padu, dengan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri kukuh serta saling memahami.

“Kita perlukan perpaduan, kestabilan dan keharmonian. Kerjasama antara Persekutuan, Sabah dan Sarawak mesti berlandaskan perundangan iaitu sama ada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri atau apa yang termaktub dalam perjanjian asal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×