KANGAR: Program ‘Jom Menabung’ bersama Kedai Emas Hajjah Halijah semakin mendapat perhatian apabila menawarkan buat orang ramai simpanan emas serendah 0.1 gram bagi pilihan jenis 916 atau 999.9.
Ketika ini, program tersebut telah mendapat penyertaan 1,800 peserta dalam menggalakkan penyimpanan emas sebagai aset masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kedai Emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, pada tahun ini, pihaknya turut menawarkan pemberian emas percuma menerusi program itu sebagai suntikan semangat buat peserta untuk menabung bersempena ketibaan 2026.
“Menerusi inisiatif ini, kita hendak tarik orang untuk dapatkan emas percuma ini dan dalam masa sama, mereka juga dapat menabung bersama-sama Kedai Emas Hajjah Halijah.
“Kami juga sering pergi ke sekolah-sekolah dan premis pejabat bagi menarik minat orang ramai untuk menabung emas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jom Menabung Bersama Kedai Emas Hajjah Halijah di Hotel Seri Malaysia semalam.
Mohd. Shaiful berkata, program tabungan itu berkonsepkan simpanan emas mengikut berat dan membolehkan peserta menabung secara fleksibel tanpa kos tambahan bagi upah barang kecuali semasa penebusan tabungan.
Katanya, penebusan emas juga boleh dilakukan secara dalam talian melalui platform rasmi laman web Kedai Emas Hajjah Halijah.
“Setiap pembelian emas untuk simpanan berkenaan mempunyai tempoh matang selama 30 hari dan para peserta boleh membuat penebusan di cawangan kami,” katanya.
Katanya, inisiatif tersebut telah bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini pelaksanaannya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan.
“Oleh itu saya berharap pelanggan kedai emas Hajjah Halijah dapat menggunakan kesempatan untuk membuat simpanan emas sebagai aset mereka kerana nilai apungannya lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN










