Kalau perlu dua penggal, itu ‘reforkerusi’ bukan reformasi - Utusan Malaysia

Kalau perlu dua penggal, itu ‘reforkerusi’ bukan reformasi

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agenda reformasi tidak akan menelan masa yang lama sehingga dua penggal untuk dilaksanakan, sekiranya ada keikhlasan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, Khalifah Umar Abdul Aziz ketika mengetuai Kerajaan Bani Umaiyah berjaya melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam waktu singkat iaitu kira-kira dua tahun sahaja.

“Keikhlasannya jadi model reformasi tak perlu dua penggal. Kalau dua penggal bukan reformasi tetapi ‘reforkerusi’. Gilir-gilir dapat jawatan.

“Selepas orang ini orang lain pula. Kalau tak lakukan reformasi menyeluruh akan jadi kosong,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Islam menuntut pemimpin menjadi contoh dan model kepada pentadbiran kerana jentera kerajaan lazimnya akan mengikut telunjuk kepemimpinan di peringkat tinggi.

Presiden Pas itu berkata, apabila kepemimpinan menunjukkan integriti dan keikhlasan, maka budaya itu akan mengalir ke bawah dan membentuk keseluruhan sistem pentadbiran.

“Kalau yang di atas menjadi model yang betul, orang di bawah akan ikut, tetapi jika kepemimpinan gagal menunjukkan teladan, kerosakan itu akan merebak,” katanya.

Abdul Hadi turut mendakwa kerajaan mengamalkan undang-undang yang ‘terpilih’ terutama dalam menangani gejala rasuah di negara ini.

Katanya, kerajaan bukan sahaja perlu mendakwa penerima rasuah tetapi pemberi dan orang tengah juga patut dihukum akibat salah laku itu.

“Tetapi ini tidak diberikan tindakan. Ini berlaku kelemahan tindakan undang-undang yang menyebabkan payung kerajaan bocor.

“Siapa sokong kerajaan diselamatkan dan siapa tak sokong kena (tindakan). Maka, kerajaan jadi pelindung kepada perasuah. Nak selamat sokong kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN