KUALA NERUS: Keluarga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak di sini, menggesa pihak berkuasa mempertimbang pemasangan lampu isyarat di hadapan sekolah berkenaan susulan keadaan lalu-lintas yang semakin sibuk dan berbahaya, khususnya waktu puncak.
Jalan utama di hadapan sekolah itu adalah laluan pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan berat, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan terutama ketika waktu persekolahan pada sebelah pagi dan waktu pulang murid.
Seorang ibu, Nora Abdul, 34, berkata, kemudahan garisan lintasan pejalan kaki ketika ini tidak cukup dalam menjamin keselamatan murid yang perlu melintas jalan.
“Jalan sibuk dan ada kenderaan memandu laju dan situasi ini sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi apabila murid ingin melintas jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemasangan lampu isyarat membantu memperlahan pergerakan kenderaan dan memberi laluan yang lebih selamat kepada murid, ibu bapa serta pengguna jalan raya lain.
Katanya, kebanyakan ibu bapa terpaksa menunggu lama atau mengambil risiko untuk menyeberang jalan khususnya ketika menghantar dan mengambil anak dari sekolah.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Gong Badak, Dr. Ahmad Faisal Mohammad Ayob berkata, permohonan berkaitan isu keselamatan laluan tersebut dikemukakan sejak 2010, bagaimanapun, hanya pembinaan lintasan zebra dilaksanakan tanpa pemasangan lampu isyarat pejalan kaki.
“Isu sama kembali dibangkitkan pada 2014 susulan kebimbangan berterusan terhadap keselamatan murid, terutama ketika waktu pergi dan pulang sekolah.
“Perkara ini terus dijadikan usul dalam Mesyuarat PIBG pada 2017 hingga yang terbaharu pada awal tahun ini, apabila pihak sekolah sekali lagi mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pertimbangan pemasangan lampu isyarat serta cermin keselamatan di hadapan sekolah,” katanya. – UTUSAN









