KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan keberkesanan usaha memerangi rasuah secara menyeluruh apabila terdapat golongan pemimpin tertentu yang didakwa menerima ‘diskaun’ hukuman meskipun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, seruan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memerangi rasuah merupakan satu peringatan yang tepat dan wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Tuanku menyatakan amalan rasuah perlu diperangi secara besar-besaran dan ini adalah seruan yang betul daripada Raja kita. Jika baginda tidak bersuara, siapa lagi yang akan bersuara.
“Namun Tuanku, ampunkan patik bertitah di sini, bagaimana kita mahu memerangi rasuah secara besar-besaran jika ada ada pemimpin-pemimpin besar yang didapati bersalah oleh mahkamah, tetapi kemudian diberikan diskaun hukuman,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Hassan berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serta percanggahan dalam usaha membanteras rasuah apabila tindakan tegas diwar-warkan, namun pada masa sama kelonggaran diberikan kepada pihak tertentu.
“Dalam satu aspek, kita mahu berpegang kepada tindakan membanteras rasuah secara habis-habisan, tetapi dalam satu aspek lain, ada pula yang dilepaskan dengan diskaun. Ini sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Dalam pada itu, Hassan turut mengkritik dakwaan wujud amalan dwi standard dalam siasatan dan pendakwaan kes rasuah khususnya melibatkan ahli-ahli politik.
Katanya, terdapat pemimpin negara sama ada kepimpinan terdahulu dan kini di mana kes mereka di mahkamah berakhir dengan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) serta kes yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Keadaan ini menyebabkan saya bersimpati dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gigih menjalankan siasatan,” katanya. – UTUSAN










