Hakim tidak mampu laksana tugas boleh berundur

Hakim tidak mampu laksana tugas boleh berundur

KETUA Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bergambar pada Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hakim yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh masa ditetapkan perlu berundur secara bermaruah.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, hakim yang mempunyai tunggakan 10 atau lebih alasan penghakiman yang belum disiapkan memikul beban besar, bukan sahaja terhadap sistem kehakiman, malah terhadap tanggungjawab moral mereka sendiri.

Katanya, badan kehakiman adalah tempat bagi mereka yang mampu menanggung tekanan, berlaku adil kepada pihak berlitigasi serta menyediakan alasan penghakiman dalam tempoh lapan minggu seperti ditetapkan.

“Kita perlu berlaku adil kepada pihak yang berlitigasi dan juga kepada hakim Mahkamah Rayuan yang tidak dapat meneruskan rayuan hanya kerana alasan penghakiman Mahkamah Tinggi belum tersedia.

“Demi kepentingan orang awam yang menantikan keputusan mahkamah, sistem kehakiman tidak boleh dibiarkan terbantut akibat kelewatan penyediaan alasan penghakiman.

“Perkhidmatan mesti disampaikan tepat pada masanya. Jika tekanan itu tidak lagi dapat ditanggung, terdapat jalan keluar yang bermaruah. Kita tidak boleh membiarkan sistem keadilan tergendala. Anda tahu siapa anda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Wan Ahmad Farid berkata, pihaknya akan melakukan segala yang termampu untuk membantu hakim-hakim yang berdepan kesukaran, namun mengakui terdapat had kepada bantuan yang boleh diberikan.

“Bagi menangani isu tersebut, Akademi Kehakiman akan mengambil pendekatan awal yang bersifat memahami cabaran dihadapi para hakim dan bukannya terus mengenakan tindakan berbentuk hukuman.

“Walau bagaimanapun, saya menyedari peningkatan jumlah alasan penghakiman yang belum ditulis di Mahkamah Tinggi.

“Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tetapi juga tanpa kelewatan yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN