Had jawatan PM: Perubahan besar kepada sistem pentadbiran negara

Had jawatan PM: Perubahan besar kepada sistem pentadbiran negara

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan replika cek dan trofi kepada pemenang Persembahan Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebagai satu langkah penting dalam sistem pentadbiran negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu telah dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat Kabinet khas dan dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli Jemaah Menteri sebelum ini.

“Semalam di dalam mesyuarat Kabinet khas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri yang menyarankan bahawa tempoh perkhidmatan mana-mana Perdana Menteri hendaklah tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal.

“Dan (cadangan) ini adalah merupakan satu ‘game changer’ yang pada hemat saya kita tidak mahu supaya seseorang Perdana Menteri itu terlalu lama. Baik mana pun kalau terlalu lama ini akan menimbulkan kesan kelesuan kuasa (saturation),” katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, persetujuan tersebut akan diterjemahkan melalui proses perundangan dengan Rang Undang-Undang berkaitan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika Amanat Tahun 2026 di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) semalam memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh pada sidang Parlimen akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN