PETALING JAYA: Grab, aplikasi super terkemuka di Asia Tenggara dan GAC, perintis global dalam mobiliti elektrik pintar menjalin kerjasama strategik untuk menggunakan 20,000 kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi di seluruh Asia Tenggara.
Selain meningkatkan kepelbagaian dan bilangan EV dalam rangkaian Grab, kerjasama ini memberi tumpuan kepada penyepaduan sistem kedua-dua syarikat untuk meningkatkan pengalaman dalam kenderaan untuk rakan pemandu Grab.
Sebagai permulaan, kerjasama baharu antara Grab dan GAC akan memperkenalkan tiga model iaitu AionY, AionES dan Aion V di seluruh Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand, sekali gus meningkatkan lagi kepelbagaian rangkaian EV Grab.
Ketua Pegawai Produk Grab, Philipp Kandal berkata, Grab sentiasa mencari inovasi yang memperkasakan rakan pemandu syarikat itu.
“Dengan mengintegrasikan aplikasi pemandu Grab terus ke dalam paparan kokpit GAC, rakan pemandu kami boleh menerima data penting dan tepat pada masanya, seperti navigasi yang tepat dan amaran keselamatan, dengan cara yang lebih ergonomik.
“Ini memastikan pengalaman yang lebih lancar dan intuitif yang mengurangkan beban kognitif rakan pemandu kami, sambil memajukan komitmen bersama kami terhadap peneutralan karbon dan masa depan yang mampan,” ujarnya.
Tambahnya, dengan menghapuskan keperluan untuk bertukar-tukar antara peranti, rakan pemandu boleh menerima perjalanan dengan lancar, mengurangkan ketegangan mata dan lebih fokus pada keselamatan jalan raya.
“Rakan pemandu Grab akan mempunyai pilihan untuk menyewa EV daripada rakan kongsi armada Grab atau memilih sokongan pembiayaan melalui skim pemilikan kereta Grab.
“Melangkah ke hadapan, Grab dan GAC komited untuk meneroka inovasi teknologi dan mengembangkan lagi penggunaan EV di seluruh rantau ini,” katanya.
Kenderaan GAC didatangkan dengan ciri-ciri yang direka khusus untuk memenuhi tuntutan ketat perkhidmatan e-hailing profesional seperti bukaan pintu 90 darjah dan ruang kaki belakang yang luas, bagi memastikan pengalaman yang lebih selesa untuk rakan pemandu dan penumpang,” katanya.
Kerjasama baharu ini sejajar dengan strategi GAC iaitu ‘GAC Berpacuan Teknologi, Memajukan Jangkauan Global dengan Ekosistem Rantaian Penuh’, yang membayangkan ekosistem bersepadu produk, perkhidmatan dan keupayaan operasi untuk EV.
Penyepaduan ini membolehkan rakan pemandu Grab melihat navigasi jalan raya dan menerima maklumat daripada Grab seperti panduan mengenai kawasan permintaan tinggi dan amaran keselamatan untuk keadaan berbahaya secara terus pada paparan kokpit GAC yang lebih besar dan mudah dibaca. – UTUSAN









