KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia sepenuhnya dan tidak berdepan sebarang masalah sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keyakinan itu bersandarkan rekod prestasi GPS yang konsisten bekerja untuk rakyat tanpa bergantung kepada musim pilihan raya.
Katanya, pendekatan berterusan itu menjadi kekuatan utama gabungan empat parti berkenaan dalam mengekalkan kepercayaan rakyat Sarawak.
“GPS bekerja bukan menjelang pilihan raya. Kita bekerja untuk rakyat sepanjang masa, pilihan raya hanyalah masa untuk kita mengembalikan kuasa kepada rakyat.
“Kalau PRN Sarawak diadakan sekarang pun boleh, GPS sudah bersedia,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih Warga Emas dan penyampaian sumbangan bakul makanan di Kampung Sungai Tengah, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Sarawak dijangka akan mengadakan PRN pada tahun ini namun tarikh tepat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bergantung kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jangkaan itu dibuat selaras dengan tempoh lima tahun selepas pilihan raya kali terakhir iaitu pada 18 Disember 2021.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, jangkaan tersebut bersifat realistik memandangkan tempoh DUN Sarawak dijadual tamat pada Februari tahun hadapan.
Katanya, prestasi pentadbiran serta rekod perkhidmatan yang ditampilkan GPS memberi ruang kepada rakyat untuk menilai keupayaan gabungan itu dalam mentadbir negeri.
Pada PRN Sarawak ke-12, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.
PSB kemudiannya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu komponen GPS, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi GPS meningkat kepada 80. – UTUSAN









