Glamping with Pride batal, JEJAKA terima ugutan bunuh

Glamping with Pride batal, JEJAKA terima ugutan bunuh

Glamping with Pride
POSTER penganjuran perkhemahan 'Glamping with Pride' didakwa sebagai cubaan menormalisasikan budaya songsang dalam masyarakat awam di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjur program yang dikaitkan dengan aktiviti songsang iaitu ‘Glamping with Pride’ bertindak membatalkan program itu selepas menerima ugutan termasuk ugutan bunuh sekiranya ia diteruskan.

JEJAKA berkata, Glamping with Pride tidak dapat diteruskan berikutan perkembangan keselamatan yang serius dan membimbangkan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, pemilik lokasi iaitu sebuah tempat rekreasi di Hulu Langat sudah membatalkan tempahan atas faktor keselamatan.

“Pihak kami turut menerima ancaman keselamatan termasuklah ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial. Ancaman-ancaman ini telah didokumenkan dan akan dirujukkan kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Program yang dikaitkan dengan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerima kecaman pelbagai pihak baru-baru ini selepas poster programnya tular di media sosial.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap penganjuran sebarang aktiviti songsang LGBTQ di negeri itu kerana melangkaui batas fitrah.

Malah, Baginda menegaskan perbuatan itu boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas Selangor.

Dalam pada itu, JEJAKA berkata, sebelum isu ini disensasikan hanya terdapat 14 orang sahaja yang berdaftar dan kemudiannya memperoleh 50 peserta menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan itu.

Namun, katanya, 50 individu tersebut kini kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan belajar tentang kesihatan akibat ketakutan dan momokan yang dicetuskan, ini merupakan kesan dari stigma serta kepanikan moral.

“Kami juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang gagal menenangkan keadaan.

“Mereka gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman, malah lebih memburukkan lagi situasi ini. Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” katanya.

Jelasnya, komuniti LGBT wujud di seluruh Malaysia dan bukan ancaman mahupun orang asing, sebaliknya juga merupakan rakyat Malaysia.

“Hak kami untuk hidup dengan selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan juga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan kewajipan untuk melindungi hak ini terletak pada semua pihak.

“Kami ingin menegaskan bahawa Glamping with Pride hanyalah aktiviti komuniti tertutup yang bersifat pendidikan dan kesihatan. Ia sebahagian usaha kami untuk mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan awam seperti HIV.

“Aktiviti perkhemahan dan rekreasi berlaku di negara ini setiap hari. Komuniti LGBT juga berhak diberi ruang yang sama tanpa diancam dengan apa-apa bentuk ugutan bersifat keganasan,” jelasnya.

Tambahnya, JEJAKA kekal berdiri di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan walaupun program anjurannya itu sudah dibatalkan.

“Keputusan ini dibuat atas melindungi nyawa dan bukan kerana mengalah. Usaha kami dalam menerapkan pendidikan kesihatan, menguatkan sokongan komuniti dan mempertahankan maruah serta hak asasi akan diteruskan dalam ruang selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN